ACARA sukan air di Putrajaya popular di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Dikenali sebagai pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya sememangnya terkenal dengan pembangunan pelbagai bangunan kerajaan unik dilatari seni bina yang mampu memikat kehadiran ramai pelancong asing.

Malah Putrajaya juga bukan nama asing bagi aktiviti membabitkan sukan lasak antarabangsa.

Lebih membanggakan sukan lasak ternama antarabangsa seperti Spartan Race, Ironman dan Powerman Asia tidak ketinggalan menjadikan Putrajaya sebagai lokasi perlumbaan atau kejohanan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, setiap hujung minggu Putrajaya sentiasa meriah dengan penganjuran pelbagai acara dan program untuk komuniti setempat serta pengunjung dari luar kawasan itu.

Beliau berkata, Putrajaya juga adalah lokasi yang tidak asing bagi penggiat sukan lasak dan ekstrem serta sering menjadi pilihan bagi peminat aktiviti berkenaan untuk beraksi bersandarkan kepada beberapa faktor.


LALUAN berbasikal yang menarik memberi kemudahan kepada peminat basikal tempatan dan asing untuk beraksi.

“Antara lain kami mempunyai kemudahan sukan ekstrem bertaraf antarabangsa di Taman Cabaran berkeluasan 28.3 hektar di Presint 5, memberi peluang orang ramai untuk menyertai sukan ekstrem yang kini kian mendapat tempat.

“Putrajaya mempunyai kompleks sukan lasak lengkap dengan kemudahan awam yang mengumpulkan empat disiplin utama seperti papan luncur, mendaki tembok tiruan, kasut roda, Bicycle Motorcross (BMX) dan Mountain Bike (MTB) dalam satu tempat iaitu di Taman Cabaran Putrajaya.

“Penyediaan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi air termasuk Kompleks Sukan Air dibina untuk memajukan lagi acara sukan air termasuk sukan lasak dalam negara dan juga memperkenalkan Putrajaya sebagai satu lagi destinasi utama bagi penggemar sukan ini untuk beraksi seperti waterski dan wakeboard. Kualiti dan paras air Tasik Putrajaya juga bersesuaian bagi penganjuran sukan air di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, bandar raya taman dengan pemandangan indah itu mempunyai kemudahan infrastruktur atau fasiliti yang sesuai bagi pelbagai acara sukan lasak. Tidak ketinggalan, Putrajaya adalah sebagai sebuah lokasi yang selamat, bersih dan jauh daripada kesesakan jalan raya.

Katanya, berdasarkan rekod, Putrajaya menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran pelbagai jenis sukan lasak peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Red Bull Air Race, Ironman 70.3, Sukan SEA, Spartan Race, Powerman Asia, Le Tour de Langkawi, Aquathlon, Triathlon, Putrajaya 100 Miles, Watergate 16 Hours, Oceanman, Rimba Alam Ultra (50k/100k relay), MAD Warrior Sprint 2018 .


PELBAGAI aktiviti sukan lasak dan ekstrem boleh dilakukan di Putrajaya.

“Hingga kini setiap tahun, tidak kurang lima sukan antarabangsa dianjurkan di Putrajaya yang berjaya menarik 50,000 peserta dan pengunjung sukan lasak.

“Pihak kami secara berterusan mengadakan dan menambah baik fasiliti sedia ada bagi menyokong penganjuran sukan termasuk sukan lasak di Putrajaya seperti menambah baik Kompleks Sukan Air Putrajaya di Presint 5 bagi sukan waterski sempena Sukan Sea ke-29 Ogos tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, PPj turut menyokong dan bekerjasama dengan penganjur serta persatuan sukan lasak untuk menggalakkan rakan kerjasamanya memilih Putrajaya sebagai pusat latihan mereka.

“Bagi tujuan itu PPj dengan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) bagi mempromosi acara sukan lasak di Putrajaya.

“PPj turut membuktikan bahawa negara kita mampu menjadi lokasi sukan lasak antarabangsa seperti tuan rumah temasya Sukan SEA ke-29 dalam acara waterski dan wakeboard.

“Perkembangan sukan lasak di Malaysia kebelakangan ini dilihat semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan. Penduduk Putrajaya yang ramai terdiri daripada golongan remaja dan belia turut memberikan kesan kepada perkembangan serta penyertaan sukan lasak di sini,” katanya.


AKTIVITI mendaki tembok tiruan menjadi tarikan kepada golongan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 1:07 PM