AKSI ketika perlumbaan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Berlari, berenang dan berbasikal dalam satu perlumbaan menjadi minatnya sejak dua tahun lalu. Lebih indah, minat dalam aktiviti itu sebenarnya bertitik tolak dari sokongan padu ibu dan bapanya yang sentiasa mencari peluang membolehkannya beraksi di arena sukan lasak tempatan.

Pemilik nama Muhammad Aiman Mohd Azizi, yang baru berusia 12 tahun ini juga cukup senang dengan jadual padat disusun ibu dan bapanya setiap hujung minggu bagi tujuan latihan berenang serta berbasikal.

Anak kepada pasangan Mohd Azizi Abu Hassan dan Nora Haslin Hasnan itu juga bukan sekadar aktif dalam aktiviti sukan lasak triathlon yang menggabungkan cabaran dalam disiplin larian, berenang dan berbasikal, malah mula meninjau potensi diri dalam cabaran ‘open water swimming’ pada hujung tahun ini.

Nora Haslin berkata, dia dan suami sentiasa menggalakkan anaknya menyertai aktiviti bersantai yang bermanfaat untuk jangka masa panjang serta kurang mendedahkan mereka kepada permainan gajet.

Beliau berkata, pilihan dia dan suami untuk mengisi waktu santai anak dengan aktiviti luar berjaya menarik minat Muhammad Aiman untuk terus menerokai sukan lasak duathlon dan triathlon yang ketika ini semakin berkembang di Malaysia.

“Mulanya kami hanya menghantar Muhammad Aiman ke kelas renang, kemudian dia mula menunjukkan minat untuk berbasikal secara serius dan kami menghantarnya pula mengikuti kelas formal.

“Kemudian pada tahun lalu, kami mula mendaftarkan Muhammad Aiman menyertai duathlon dan triathlon yang dianjurkan untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan dia seronok setiap kali berjaya menamatkan perlumbaan,” katanya.


MUHAMMAD Aiman (kanan) bersama rakan yang mempunyai minat sama.

Setakat ini, Muhammad Aiman sudah menyertai lima kejohanan duathlon dan triathlon bagi kategori kanak-kanak. Selain itu, dia juga menyertai beberapa kejohanan berbasikal lain.

Bagi kategori triathlon kanak-kanak membabitkan jarak larian sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal 4.5km dan berenang 150 meter. Selain itu, dia juga menyertai ‘open water swimming’ pada Mei lalu dan Ogos ini dengan jarak masing-masing sejauh 300 dan 250 meter.

Tambahnya, kejohanan sukan lasak di Malaysia meskipun sudah berkembang tetapi untuk kategori kanak-kanak masih lagi kurang dan perlu diperluaskan pada masa depan.

Katanya, aktiviti santai yang mencabar prestasi fizikal dan mental kanak-kanak seperti ini dilihat mampu memberi kesan positif kepada perkembangan anak-anaknya.


AKTIVITI lasak menjadikan Muhammad Aiman lebih fokus.

“Kami melihat pendedahan kepada aktiviti ini bukan saja mampu memberi kesan yang baik kepada anak, malah turut menjadikan ibu bapa lebih berdisiplin.

“Ini kerana setiap hujung minggu kami perlu memastikan Muhammad Aiman tidak terlepas mengikuti kelas latihan renang yang bermula seawal jam 7 pagi dan sebagai penjaga perlu lebih bersemangat untuk memberi motivasi kepada mereka.

“Aktiviti beriadah yang baik seperti ini juga dapat membantu perkembangan akademik Muhammad Aiman,” katanya.

Dia dan suami bercadang mendaftarkan Aiman dalam kejohanan duathlon dan triathlon di luar negara dengan menyasarkan Singapura atau Thailand.

“Memandangkan tahun ini dia bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kami kurangkan sedikit aktiviti luarnya. Mungkin selepas habis peperiksaan, kami mulakan ‘misi’ penyertaan dalam kejohanan di luar negara pula,” katanya.


BERBASIKAL menjadi aktiviti yang digemarinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 1:01 PM