BERGELAR mahasiswa bermakna perlu berdikari sendiri.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Keputusan permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) sesi akademik 2018/2019 baru saja diumumkan kira-kira dua minggu lalu.

Bagi yang mendapat tempat, sudah pasti tidak sabar untuk memulakan langkah bergelar mahasiswa pada September ini.

Segala persiapan sudah tentu hampir sempurna memandangkan hanya dua minggu lagi bakal berjauhan dengan ayah dan ibu.

Tapi, dalam keseronokan itu, ada juga calon yang gelisah dan tidak tenang apabila kursus pengajian ditawarkan bukan pilihan hati.

Hendak ditolak bimbang merugikan masa dan belum tentu permohonan kemasukan akan datang menyebelahi diri, hendak diteruskan pula, takut nanti akan merosakkan prestasi pengajian kerana tidak minat dengan bidang yang bakal diikuti.


PENDAFTARAN pelajar baru September ini.

Dilema itu mungkin melanda sebahagian kecil mahasiswa baru dan hanya kes terpencil, namun ia sebenarnya boleh memberi kesan jangka panjang jika perkara ini tiada penyelesaiannya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Raba’ah Hamzah berkata, berdasarkan pengalaman di universiti menunjukkan memang ada calon yang meneruskan program pengajian bukan pilihan.

Bagaimanapun, ada antaranya mendapat keputusan cemerlang kerana kuncinya adalah pada diri sendiri.

“Calon seharusnya menerima tawaran dan memulakan usaha serta langkah yang baharu demi masa depan.

“Fikiran yang bercelaru dapat diatasi dengan membuat tumpuan yang lebih kepada ‘aku harus berjaya.’ Calon harus memikirkan bukan mudah untuk mendapat tawaran pengajian itu, kesesuaian keputusan disaring kumpulan khas dari universiti dan ia mengambil kira kemampuan berasaskan keputusan peperiksaan calon,” katanya.


TERIMA tawaran pengajian dengan hati gembira dan bersedia.

Katanya, perkara ini penting kerana keputusan itu sangat berkait dengan masa depan calon.

“Selepas mendaftar di universiti, calon perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada program pengajiannya. Mereka perlu bersaing dalam suasana yang sihat dan memajukan diri dengan lebih sistematik, iaitu mengikuti perancangan program yang ditetapkan universiti bagi memastikan tidak ketinggalan dalam mana-mana peraturan atau tuntutan sebagai mahasiswa,” katanya.

Katanya, mahasiswa perlu menjadikan program yang diikuti itu sebagai cabaran yang perlu ditangani demi masa depan.

“Apa yang perlu ialah menjadi penuntut cemerlang, berkebolehan, rajin dan mempunyai visi, misi serta wawasan yang boleh mengatasi perasaan dan emosi.

“Menerusi sikap yang positif, calon tetap akan memperoleh keputusan yang baik seperti penuntut lain,” katanya.


PELAJAR baru turut diutamakan.

Jelas Dr Siti Raba’ah lagi, bagaimanapun pelajar masih boleh memohon program pengajian mengikut pilihan hati, tapi ia seolah-olah mencuba nasib pada sesi kemasukan yang akan datang.

Katanya, pelajar juga boleh memilih program pengajian di universiti yang lain, sama ada universiti awam (UA) atau swasta.

“Namun, risiko yang perlu dihadapi calon ialah persaingan dengan calon baru yang turut memohon untuk kemasukan sesi berkenaan.

“Kegagalan mendapatkan program pengajian pilihan hati bukan sesuatu keputusan muktamad untuk membantutkan cita-cita dan harapan kerana daripada itu calon perlu berfikir dengan sihat adakah ini ‘takdir saya’ atau adakah ini permulaan baru?” katanya.

Katanya, cita-cita dan harapan boleh diasah dan diusahakan, apatah lagi Malaysia memberikan peluang yang luas dan terbuka, terutamanya melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Perjuangan sistem pendidikan berdasarkan keseimbangan antara ilmu dan akhlak dengan enam atribut (sifat) penting, iaitu etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan akan diserapkan sebagai aspirasi pelajar di Malaysia.


TANGANI cabaran demi masa depan.

“Walau di mana saja penuntut belajar, semua atribut ini akan dinilai dan diukur bagi memastikan kualiti graduan universiti di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, dalam dekad ini, peluang semakin cerah bagi lulusan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang sangat diperlukan dalam pembangunan negara. Banyak universiti yang menawarkan program TVET dalam pelbagai peringkat pengajian.

“Calon juga mungkin boleh mengasah bakat dalam bidang ini yang membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan semakin mendapat tempat di negara kita.

“Keperluan sumber tenaga kerja dalam negara sangat mencabar selari dengan arah aliran global. Contoh jelas kemajuan teknologi serta yang berkait dengannya sangat pantas dan dijangka akan merubah sepenuhnya landskap serta perkembangan sosial Malaysia. Justeru, sumber tenaga belia (mahasiswa) yang berkemahiran sangat diperlukan,” katanya.

Katanya, cabaran utama majikan adalah mendapatkan graduan yang menguasai sepenuhnya kemahiran seperti kemahiran komunikasi, kepemimpinan, berfikir secara kritis dan kemahiran berbahasa.


SENTIASA menelaah bersama rakan untuk topik pengajian.

“Majikan bukan hanya melihat keputusan peperiksaan yang cemerlang tapi juga mengambil kira keupayaan dalam semua aspek iaitu pendidikan, perkembangan sosial, kecekapan menyeluruh dengan minda dan beretika, bermoral, mempunyai kerohanian yang mantap, prihatin, menghayati pembangunan serta perkembangan mampan dengan amalan gaya hidup yang sihat.

“Oleh yang demikian, program pengajian pilihan hati atau bukan pilihan tidak menandakan tamatnya masa depan.

“Peluang mendapatkan tawaran daripada universiti adalah sesuatu yang harus diterima dengan penuh kerelaan. Bagi calon, usaha tangga kejayaan dan tidak ada satu pun program yang ditawarkan mana-mana universiti tidak mempunyai masa depan,” katanya.


KEPUTUSAN yang cemerlang kerana kuncinya adalah pada diri sendiri.

Sementara itu, katanya, menerima tawaran pengajian menjadi pilihan hati pula sebenarnya antara langkah terbaik kerana calon sudah mempersiapkan diri dengan program yang dipilih di mana-mana universiti.

“Pilihan itu, kadang-kala bukan saja didorong diri sendiri malahan dipengaruhi beberapa faktor lain seperti pendapat ahli keluarga, rakan, bekas guru di sekolah, selain kedudukan universiti turut menjadi penyumbang.

“Kebiasaannya, calon memilih universiti mengikut bidang yang diminati dan perancangan kerjaya masa depan mereka. Tidak kurang juga yang memilih universiti disebabkan kedudukan (ranking) pusat pengajian yang popular atau terbaik di dalam negara atau peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, ada juga calon yang berjiwa sentimental, memilih universiti yang terletak berhampiran tempat tinggal atau universiti pilihan keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.

Namun, bagi calon yang lebih bergaya dan mencabar pula, mereka memilih universiti di luar negara yang pastinya berbeza bahasa dan budaya.


BERSAING dalam suasana yang sihat untuk memajukan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 2:01 PM