REKAAN fesyen ditawarkan KVerts.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kolej Vokasional (KV) yang mula diperkenalkan pada 2013 adalah platform untuk melahirkan pelajar berkemahiran domestik agar mampu menghadapi pasaran kerja yang kompetitif selepas tamat pengajian.

Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri, KV Setapak, Amizah Amir berkata, pelajar KV akan mengikuti pengajian selama empat tahun dengan mengambil Siil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun kedua sebelum menduduki Diploma Vokasional Malaysia pada tahun terakhir.

Setakat ini, katanya, terdapat 81 KV di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus yang diperlukan pemain industri.

“Antara kursus ditawarkan ialah Teknologi Elektrik, Teknologi Pembuatan, Teknologi Pembinaan, Perbankan, Landskap dan Multimedia Kreatif.

“KV kini terbuka kepada semua lepasan PT3 yang memperoleh keputusan sederhana dan kurang memberangsangkan.

“Hampir 98 peratus pelajar KV berjaya mendapat pekerjaan atau memilih menjadi usahawan. Malah, majikan juga memberi maklum balas positif terhadap pelajar KV yang bekerja dengan mereka,” katanya.


JAHITAN antara yang ditawarkan.

Bagi Farisha Eiza Izzaty Md Zamri, 22, minat mendalam terhadap dunia kecantikan mendorongnya meneruskan cita-cita meneroka bidang itu dengan membuka salun yang diberi nama Hermosa Saloon di Pekan Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

Bekas pelajar Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga Setapak (KVerts) dalam bidang kosmetologi itu berkata, walaupun salun miliknya baru beroperasi sejak setahun lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk sekitar.

“Setiap hari ramai datang dan ada yang sudah menjadi pelanggan tetap saya. Selain dandanan rambut, salun ini juga menyediakan perkhidmatan rawatan wajah.

“Sejak kecil, saya memang suka dengan alat solek dan sentiasa menggayakan pelbagai fesyen rambut. malah, ini cita-cita dan impian saya sejak memasuki KV. Saya mahu buktikan kepada ibu dan bapa saya pilihan untuk memasuki KV tidak salah,” katanya.

Dibantu ibunya, Rozilah Sulaiman, 47, bagi menguruskan salun itu, kata Farisha, modal untuk membuka perniagaan itu hasil duit simpanan, selain bantuan ibu dan bapa.

“Saya bersyukur kerana orang tua yang sentiasa memberi sokongan. Kini, saya sudah memiliki salun sendiri selepas setahun lebih mengumpul pengalaman bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salun.

“Siapa sangka pilihan saya untuk memasuki KV tidak salah dan di situ saya turut didedahkan dalam dengan ilmu pemasaran serta cabaran sebenar dunia perniagaan apa terbabit dalam industri,” katanya.


FARISHA di salun rambut miliknya.

Turut cemerlang ketika mengikuti program KV dalam bidang Seni Reka Fesyen dan Membuat Pakaian ialah Mohammad Farris Aiman Nor Sarizan, 20.

Anak kelahiran Kota Bharu Kelantan ini bukan calang-calang kerana keputusan Penilian Menengah Rendah (PMR) cukup membanggakan apabila memperoleh 7A, tetapi minat terhadap feysen membuatkan dia memilih KVerts.

“Saya tahu pelbagai persepsi negatif timbul terhadap keupayaan pelajar KV, apatah lagi kami tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi diberi DVM.

“Keadaan ini ditambah lagi mendapat gambaran tidak bagus daripada keluarga terutama ayah. Permulaan saya dalam bidang ini tidak mudah kerana keluarga mahu saya melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih menjamin masa depan.

“Saya memohon memasuki KVerts yang menawarkan bidang vokasional tanpa pengetahuan keluarga,” katanya sambil memberitahu sangat mencintai bidang fesyen dan baru selesai menjalani latihan industri dalam bidang itu di sebuah butik terkemuka di ibu kota.


PELAJAR kulinari melakukan tugasan memasak.

Boleh dikatakan usaha dan komitmen anak sulung daripada tiga adik-beradik ini kini sudah berbalas apabila dia dan seorang rakannya pernah terpilih untuk menyertai pertandingan Anugerah Seni Reka Generasi M sempena Pertujukan Fesyen Modest Tokyo 2017.

Katanya, pertandingan itu terbuka kepada semua pelajar fesyen yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur Halal Ekspo Jepun 2017.

“Saya percaya ujian yang ditempuh adalah sebahagian daripada cabaran untuk menjadi seorang pereka fesyen berjaya suatu hari nanti.

“Saya berharap ibu dan bapa akan melihat pembelajaran dan apendedahan amali di KV mempunyai jala tuju terutama kebolehpasaran saya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 1:28 PM