TENUNAN dastar adalah tradisi suku kaum Irranun, Kota Belud, Sabah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Projek Kraf KampungKu (KKK) di Sabah kini memasuki siri kedua dan Kota Belud pula dipilih sebagai lokasi projek berkenaan tahun ini.

Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu, Kota Belud mempunyai lebih 350 usahawan sekali gus menjadikannya daerah yang mempunyai pengusaha kraf tangan paling ramai di negeri itu.

Keistimewaan itu mendorong Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) memilih daerah terbabit bagi pelaksanaan Projek KKK yang bakal dirasmikan September ini.

Projek KKK adalah inisiatif Kraftangan Malaysia bagi membangunkan komuniti setempat di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI)-Produk Kraf.

Bagi projek KKK Kota Belud, Kraftangan Malaysia mengetengahkan produk yang mempunyai keunikan tersendiri dan menjadi identiti bagi Negeri Di Bawah Bayu.

Ia membabitkan produk anyaman serdang, anyaman rotan, parang Bajau, tenunan dastar dan kraf kulit kayu.

Penulis bersama 12 rakan media menyertai lawatan projek KKK selama tiga hari dan dibawa ke Kampung Rampaian Laut, Kampung Siasai, Kampung Pengkalan Abai, Kampung Tuguson dan Kampung Melangkap di Kota Belud untuk melihat sendiri secara lebih dekat perusahaan kraf berkenaan.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Abdul Halim Ali berkata, menerusi program itu produk kraf diberikan penjenamaan semula bagi meningkatkan pengeluaran dan pemasaran terutama kepada usahawan kraf supaya lebih berjaya di samping menghasilkan produk berkualiti.

“Sabah sememangnya sangat terkenal dengan kepelbagaian seni kraf yang melambangkan identiti dan keunikan suku kaum tertentu di negeri ini.

“Bagaimanapun, keistimewaan ini masih kurang diketahui ramai khususnya masyarakat di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, projek itu turut menjadi platform untuk lebih mempopularkan produk terbabit yang merentasi sempadan Borneo.

Katanya, jelas projek KKK tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk setempat tapi juga mendatangkan impak kepada industri lain seperti inap desa, pelancongan, perkhidmatan dan produk hiliran.

Bukan itu saja malah Kraftangan Malaysia turut membuka Pusat Inkubator Kraf Kota Belud untuk usahawan tenunan dastar, parang, rotan, serdang dan kulit kayu mengembangkan perusahaan mereka.

“Ia bukan sekadar memberi latihan dan bimbingan kepada usahawan tapi umpama pusat sehenti kraf tangan kepada pelancong mendapatkan maklumat berkenaan Kota Belud.

“Langkah ini dapat memartabatkan hasil industri kraf tangan tempatan yang sarat dengan elemen seni, warisan dan budaya bangsa,” katanya dan berharap projek berkenaan dapat memperkasakan usahawan kraf serta melonjak industri itu di Sabah.

1. Anyaman serdang

Ia produk kebanggaan kaum Bajau di Kota Belud kerana mencerminkan identiti kaum berkenaan. Produk popular yang dihasilkan daripada anyaman itu ialah penutup makanan dan boleh dijadikan bekas membawa makanan jika diterbalikkan.

Anyaman serdang sering digunakan pada musim perayaan untuk membawa dan menutup makanan yang dihantar ke masjid.

Tradisi masyarakat Bajau itu masih diteruskan usahawan muda, Syarifah Artini Ajmain, 35, dari Kampung Pengkalan Abai yang mewarisi bakat daripada ibunya, Ida Jilang, 73, sejak usianya 14 tahun.


SYARIFAH Artini menunjukkan produk anyaman serdang dihasilkannya.

Ibu kepada tiga orang anak itu mengambil daun serdang di dalam hutan berhampiran kediamannya dan menjalankan perusahaan terbabit secara sepenuh masa hingga mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Produk berkenaan mendapat permintaan yang tinggi sama ada di Sabah sendiri dan Semenanjung Malaysia.


IDA menunjukkan kemahiran membuat anyaman serdang.

2. Tenunan dastar

Tenunan itu hasil kerja tangan tradisi suku kaum Irranun dan pakaian tradisional kaum berkenaan di Kota Belud. Walaupun ditenun kaum Irranun tapi banyak dipakai suku kaum Bajau.

Kain tenunan dastar turut dijadikan samping, tanjak, baju dan selendang. Dahulu, kain itu dipakai golongan bangsawan tapi kini boleh dipakai sesiapa saja.

Kuam Irranun diwajibkan memakai kain itu ketika musim perayaan, majlis keramaian seperti upacara perkahwinan dan majlis keselamatan.


TENUNAN dastar adalah tradisi suku kaum Irranun, Kota Belud, Sabah.

Ditenun menggunakan benang biasa, emas dan perak, tradisi itu diteruskan perekanya yang masih aktif di Kota Belud iaitu Pandian Sulaiman, 65.

Dalam pada itu, Kraftangan Malaysia membuat pembaharuan apabila menghasilkan tenunan songket dastar yang tenunan itu diperluaskan menjadi kain sarung dan samping hingga mendapat permintaan dari peminat kain dastar di Semenanjung Malaysia.


PEKERJA membuat tenunan dastar.

3. Parang Bajau

Kota Belud popular dengan parang kerana keunikan tersendiri parang berkenaan yang dihasilkan kaum Bajau. Parang itu berbeza dengan parang dari daerah lain di Sabah dari segi ukiran, jenis mata parang dan ukiran di mata parang yang hanya terdapat di Kota Belud.

Kayu nangka sering menjadi pilihan untuk dibuat sarung dan hulu parang kerana ia lebih tahan lama. Manakala besi untuk membuat mata parang pula menggunakan besi spring kereta kerana tahan lama.

Mata parang diukir dengan ukiran bermotifkan daun paku pakis yang dipanggil corak Bajau bagi memberi identiti kepada senjata tradisional masyarakat Bajau.


PARANG Bajau dihasilkan Ebin Adim.

4. Anyaman rotan

Anyaman rotan adalah satu lagi produk warisan nenek moyang komuniti di Sabah yang masih kekal terpelihara.

Usahawan, Empin Galing, 58, mengambil peluang untuk meneruskan tradisi berkenaan dengan mengusahakan industri anyaman rotan secara serius sejak enam tahun lalu.

Beliau juga menanam kira-kira satu hektar rotan saga di Kampung Melangkap Nariou untuk perusahaan berkenaan dengan menghasilkan produk seperti bakul, bola raga, tikar dan barangan perhiasan lain.

Mendapat bimbingan dan latihan daripada Kraftangan Malaysia dan enam kali menyertai pameran Hari Kraf Kebangsaan di Kraftangan Malaysia Jalan Conlay, Kuala Lumpur.


EMPIN mengusahakan anyaman rotan sejak enam tahun lalu.

5. Kraf kulit kayu

Produk dihasilkan menggunakan kulit kayu pokok timbangan yang diusahakan Julita Ukur, 45, di rumahnya di Kampung Tuguson sejak 18 tahun lalu.

Antara produk dihasilkan seperti dompet, beg sandang, bekas menyimpan alat solek dan wang syiling sudah dipasarkan hingga ke Korea, China dan Taiwan.

Produk berkenaan melambangkan identiti masyarakat Sabah yang diwarisi sejak turun temurun, namun bilangan mereka yang berkebolehan membuatnya makin berkurangan. Dia menerima bantuan empat mesin jahit daripada Kraftangan Malaysia.


JULITAH menjahit kulit kayu untuk membuat kraf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 3:51 PM