MUHAMMAD Khalik (kanan) dan Saiful Imaan menzahirkan semangat cintakan negara menerusi lukisan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Sempena bulan kemerdekaan ini, penuntut dan tenaga pengajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak mengambil peluang memeriahkan sambutan itu dengan mengadakan Pameran Lukisan@Premiera berjudul Patriotik.

Berlangsung dari 1 hingga 31 Ogos di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, pameran berkenaan mengetengahkan 57 karya daripada 30 pelukis yang menggunakan pelbagai medium dan genre.

Menariknya, ia turut menggabungkan pelukis empat jabatan iaitu Jabatan Seni Halus, Jabatan Fesyen, Jabatan Seramik dan Jabatan Fotografi yang terdiri daripada 25 penuntut serta lima pensyarah.


MUHAMMAD Khalik antara lima pensyarah yang menyertai Pameran Patriotik.

Pameran itu menjadi platform kepada pelukis untuk menzahirkan luahan rasa kecintaan terhadap tanah air menerusi seni visual.

Kurator pameran yang juga pensyarah di Jabatan Fesyen UiTM Seri Iskandar Muhammad Khalik Mustafa turut mempamerkan dua hasil seninya dengan salah satunya menonjolkan aktor Remy Ishak sebagai objek utama.

“Pemilihan ini (Remy Ishak) sebagai transformasi tokoh tanah air yang tidak hanya disanjung berdasarkan sumbangan politik kepada negara semata-mata.

“Sebaliknya sumba­ngan dalam bidang seni juga boleh dianggap tokoh kerana mereka juga turut berlakon dalam drama atau filem yang mengandungi unsur kenegaraan sekali gus menaikkan martabat filem Melayu.

“Kebetulan pada ketika ini, Remy Ishak antara pelakon lelaki popular dan mungkin 30 tahun akan datang beliau dikenang sebagai seniman negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tokoh negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn perlu dikenali dan diingati kerana sumbangan mereka cukup besar dalam sejarah negara.


SAIFUL Imaan mahu generasi muda membebaskan diri daripada ‘kawalan’ gajet.

Bagi pelukis, Saiful Imaan Sharonee, 20, generasi muda hari ini seperti ‘diikat’ dengan gajet yang menyebabkan mereka lebih cenderung memilih ‘kehidupan’ bersama peralatan itu berbanding kehidupan sebenar.

Malah pandangan Saiful Imaan dikongsikan dalam karya yang menonjolkan imej jantung dan gula-gula lolipop sebagai objeknya.

“Organ jantung merujuk kepada generasi muda sementara gula-gula lolipop pula menjelaskan berkenaan adanya kehidupan lebih indah jika kita membebaskan diri daripada dibelenggu gajet.

“Seharusnya kita memanfaatkan gajet untuk mencari maklumat berguna terutamanya berkenaan sejarah pembangunan negara supaya menjadi individu lebih patriotik,” katanya.


KARYA Saiful Imaan yang dipamerkan dalam Pameran Patriotik.

PAMERAN PATRIOTIK

• ARTIS: 30

• KARYA: 57

• TEMPAT: Aras 5, Coffee House, Hotel Premiera, Kuala Lumpur

• TARIKH: 1 hingga 31 Ogos 2018

• MASA: 7 pagi hingga 11 malam

• LAMAN WEB: www.premiera.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 3:07 PM