PENUNTUT landskap teratur menyusun gubahan landskap.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bidang seni bina landskap adalah penting dalam proses pembangunan kawasan kediaman, institusi, komersial, industri dan rekreasi.

Ini jelas terbukti dengan perkembangan pembangunan yang meningkat pada kadar 35 peratus setahun di hampir semua lokasi terutama kawasan bandar.

Jika pembangunan ini tidak dikawal dengan perancangan landskap yang sempurna, ia akan mewujudkan suasana alam sekitar yang tandus, kering dan tidak bermaya.

Oleh itu, perancangan, reka bentuk dan pengurusan landskap yang profesional akan menampilkan suasana persekitaran harmoni supaya kehidupan manusia sejagat lebih inovatif dan berdaya maju.

Pengajian seni bina landskap antara lain juga merangkumi isu guna tanah dan perancangan alam sekitar, perancangan dan reka bentuk tapak, permasalahan tanah serta pengurusan landskap.

Senario pembangunan yang makin pesat kini dan akan datang memerlukan lebih ramai profesional dalam bidang seni bina landskap supaya keseimbangan proses urbanisasi tercapai.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir berkata, seni bina landskap ialah satu bidang yang berkaitan dengan pengajian sains dan seni.


PERANCANGAN landskap mewujudkan suasana tersusun.

Katanya, seni bina landskap adalah satu profesion yang menekankan pertalian antara alam binaan dan persekitaran dengan mengambil kira kedua-duanya dalam konteks penghidupan manusia sejagat.

Katanya, lima universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) menawarkan program seni bina landskap di peringkat sarjana muda dan sarjana.

Katanya, lulusan arkitek landskap dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan semakin mendapat tempat dan kebanyakannya setanding lepasan IPT dari luar negara.

“Bidang seni bina landskap adalah bidang yang berkembang pesat di negara ini sejak lebih 40 tahun lalu. Ia akan menjadi lebih penting pada masa akan datang, memandangkan isu semasa mengenai perubahan iklim, pertambahan penduduk dan pembangunan pesat negara.

“Pada suatu ketika dulu, peranan arkitek landskap tidak langsung diambil kira dan diberi tempat dalam keseluruhan merancang, mereka bentuk dan melaksanakan projek pembangunan alam sekitar.

“Kebanyakan pakar landskap pula adalah siswazah dari universiti luar negara, tetapi sekarang dengan adanya program yang ditawarkan di universiti serta kolej kemahiran, negara berupaya melahirkan arkitek landskap tempatan.

“Pengukuhan program landskap dengan pemantapan pengajian yang ditawarkan oleh pusat pengajian di samping pensyarah bertauliah, graduan dari bidang ini berupaya mendepani revolusi industri 4.0 dengan jayanya,” katanya.


DR OSMAN bersama penuntut melihat projek landskap yang dihasilkan.

Katanya, bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) turut ‘dicanai’ dalam program pengajian seni bina landskap supaya graduan lahir nanti memenuhi pasaran kerja yang memerlukan pekerja berfikiran kritis dan berupaya menyelesaikan masalah serta berkemahiran profesional.

“Contohnya pengajian seni bina landskap di UPM, mahasiswa akan didedahkan dengan kemahiran penyelesaian masalah bagi memastikan mereka menjadi seorang yang berkaliber, boleh mengendalikan pelbagai perkara dan memenuhi kebolehpasaran kerja.

“Banyak projek yang dijalankan perlu dilakukan secara amali supaya pelajar memperoleh kemahiran dengan jelas serta dipraktikkan dengan mudah sewaktu bekerja nanti.

“Ini kerana seni bina landskap memerlukan mereka merancang dan membuat reka bentuk kawasan atau ruang secara komprehensif. Mereka juga perlu mengambil kira elemen semula jadi, tumbuhan dan binaan mengikut suatu perancangan, fungsi dan teknik yang menyeluruh,” katanya.

Katanya, sehingga kini Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM sudah melahirkan lebih 700 graduan arkitek landskap sejak 1996 dan ramai alumni adalah arkitek landskap bertauliah.


LANDSKAP juga membabitkan persekitaran kawasan taman.

Katanya, sempena 20 tahun penubuhan fakulti, satu buku mengetengahkan 35 arkitek landskap dari kalangan alumni berjaya diterbitkan.

Katanya, 85 hingga 90 peratus siswazah seni bina landskap memperoleh pekerjaan sama ada sebagai konsultan di sesebuah syarikat atau memiliki firma perunding.

Jelas Dr Osman, peranan arkitek landskap akan menjadi bertambah penting dengan pemesatan proses urbanisasi dan pertambahan populasi pada masa akan datang.

Katanya, keperluan pakar dalam bidang seni bina landskap tidak dapat dinafikan pada masa kini dengan kepesatan pembangunan yang tinggi dipelbagai sektor perumahan, industri, perhutanan, lebuh raya, perlombongan, pelancongan dan taman rekreasi.

“Projek besar seperti Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang memberi penekanan yang amat tinggi kepada persekitaran. Oleh itu, permintaan untuk kepakaran bidang seni bina landskap akan meningkat.

“Pembangunan landskap di Malaysia berkembang dengan kadar yang cepat. Pembangunan industri binaan yang juga berkembang dengan pesat memungkinkan profesion ini mendapat kesan limpahan walaupun terpaksa menghadapi keterbatasan tertentu,” katanya.


ANTARA idea pembinaan landskap.

Demi keselesaan, ketenangan masyarakat

Ramai yang kurang jelas mengenai tanggungjawab seorang arkitek landskap. Kerjaya ini tertumpu kepada reka bentuk persekitaran luaran.

Bidang ini mempunyai kaitan antara sains dan seni reka bentuk melalui perancangan atau pengurusan sesuatu kawasan.

Untuk menjadi seorang arkitek landskap, seseorang itu perlu mempunyai kreativiti dan imaginasi tinggi, berkemampuan dalam analisis logik, pengurusan dan pengaturan, kebolehan menyelesaikan masalah serta memiliki daya pemerhatian yang tajam.

Memilih pengajian arkitek landskap, pemegang ijazah sarjana muda, Muhammad Hakim Jasmy, 24, berkata, bidang landskap amat diperlukan dalam setiap pembangunan yang dijalankan supaya suasana lebih tersusun dan memberi ketenangan kepada masyarakat.

“Jika pembangunan yang dijalankan tanpa perancangan landskap tersusun, pelbagai masalah boleh timbul khususnya menyebabkan ketidakselesaan masyarakat.

“Dengan pertambahan populasi penduduk pada masa akan datang, keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar wajar dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya yang bercita-cita membuka firma perunding landskap sendiri.


PELAJAR seni bina landskap menyiapkan tugasan amali.

Muhammad Hakim berkata, dia gembira memilih bidang pengajian landskap kerana keperluan itu memberi manfaat bukan saja kepada pembangunan negara tetapi masyarakat.

Bagi penuntut tahun satu sarjana muda seni bina landskap, Nurhafizah Amni Mohd Azahar, 20, pula tidak menyangka pemilihan kursus itu memupuk minatnya untuk berkhidmat sebagai perunding landskap berjaya.

“Awalnya saya tidak tahu langsung mengenai seni bina landskap, apabila belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) minat terhadap pengubahsuaian landskap semakin tebal. Malah ia juga menguji daya kreatif saya dalam menghasilkan karya landskap,” katanya.

Katanya, keperluan pakar dalam bidang seni bina landskap tidak dapat dinafikan pada masa kini dan akan datang kerana kepesatan pembangunan yang tinggi dipelbagai sektor.

“Pembangunan di Malaysia dijangka semakin pesat dalam sektor perumahan, industri dan pelancongan. Keperluan keselesaan sudah akan menjadi keutamaan masyarakat.

“Peranan arkitek landskap begitu penting bagi memastikan kemajuan yang dilaksanakan itu seiring dengan pembangunan persekitaran yang selesa,” katanya.

Syarat menjadi arkitek landskap

• Perlu lulus sekurang-kurangnya peringkat Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara yang diiktiraf.

• Perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai arkitek landskap bertauliah.

Peluang pekerjaan

• Siswazah berpeluang meneruskan kerjaya sebagai arkitek landskap (kelulusan minimum ijazah sarjana muda) atau pun sebagai pembantu arkitek landskap (kelulusan minimum diploma) atau sebagai pembantu teknikal kepada arkitek bangunan atau pun perancang bandar di pelbagai firma, jabatan, kementerian dan organisasi yang di antaranya seperti berikut;

• Institusi pengajian tinggi, Jabatan Landskap Negara, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Institut Arkitek Landskap Malaysia, majlis daerah, pihak berkuasa kerajaan tempatan, firma-firma perunding landskap, syarikat kontraktor landskap, syarikat pemaju perumahan, firma perunding arkitek, firma perunding perancang bandar dan wilayah serta pelbagai syarikat atau firma lain yang berteraskan kepada projek pembangunan atau penyelenggaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 2:35 PM