PENDUDUK Kampung Semelor sangat menitikberatkan kebersihan
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Pengalaman menaiki bot selama 40 minit dari Jeti Belum Royal Resort (BRR) ke Perkampungan Orang Asli Kampung Semelor sememangnya mengujakan kerana disajikan panorama indah di sekitar Tasik Temenggor.

Jika bernasib baik, pasti berpeluang melihat sekumpulan burung enggang terbang di atas bot anda ataupun beruang madu berenang di tasik berkenaan.

Bagaimanapun, penulis mengalami kejutan sebaik tiba di Kampung Semelor kerana terpegun melihat kebersihan persekitaran kampung terbabit.

Ternyata, keadaan kampung itu jauh berbeza dengan perkampungan Orang Asli lain yang pernah penulis kunjungi sebelum ini.

Semua itu hasil keprihatinan Tok Batin Samad Jeranggong membentuk budaya baru kepada masyarakat Orang Asli kampung berkenaan iaitu mengutamakan kebersihan.

Tidak hairanlah kampung itu dinobatkan sebagai kampung paling bersih di Perak selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2005 dan 2006 selain diangkat menjadi kampung pelancongan pada November 2011.


ARTIS Singapura, Art Fazil menghiburkan murid Orang Asli.

Samad berkata, kampung berkenaan dihuni 42 penduduk Orang Asli dan peringkat awal sedikit sukar untuk melaksanakan budaya berkenaan kerana komuniti itu kurang menitikberatkan soal kebersihan.

“Saya dan keluarga mengambil pendekatan awal mengubah cara hidup supaya tindakan ini menjadi ikutan kepada penduduk lain.

“Langkah ini bagi mengelakkan diri daripada terdedah kuman yang boleh mengundang pelbagai penyakit,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, usaha itu kini sudah menjadi amalan penduduk apabila mereka akan membuang sampah di tempat pembuangan sampah disediakan dan sentiasa membersihkan kawasan persekitaran kediaman masing-masing.

Katanya, beliau gembira kampung itu kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Bukan itu saja, kampung berkenaan turut terpilih menjadi kampung angkat kepada Syarikat Kumpulan EMKAY sejak 2006 menerusi pembinaan Toy Library.


KANAK-KANAK membuat persembahan kepada Belum Forest Friend.

“Kemudahan ini (Toy Library) memberi peluang kepada kanak-kanak di kampung ini yang tidak berpeluang ke sekolah untuk menguasai 3M iaitu membaca, mengeja dan mengira.

“Kaedah pembelajaran melalui permainan turut diketengahkan supaya mereka berasa seronok untuk datang ke sini.

“Namun, mereka juga didedahkan dengan bahasa Inggeris bagi memudahkan berkomunikasi dengan pelancong antarabangsa yang datang ke kampung ini,” katanya.

Jelasnya, kanak-kanak tidak dapat bersekolah disebabkan kampung itu tidak mempunyai jalan dan hanya terdapat laluan pembalakan yang mengambil masa dua jam untuk sampai di sekolah jika berjalan.

“Laluan ini sangat berbahaya kerana banyak lori masuk dan keluar membawa kayu balak selain turut menjadi laluan gajah.

“Ini faktor yang menyebabkan ibu bapa tidak membenarkan anak mereka ke sekolah kerana bimbang keselamatan,” katanya.


BELUM Forest Friend di hadapan Toy Library di Kampung Semelor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:42 PM