MOHAMADDIN (tiga dari kanan) melawat pameran muzium haiwan selepas majlis perasmian HMA 2018.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tidak akan menghentikan perkhidmatan dalam talian bagi mengiklan, mencari dan menempah penginapan percutian, Airbnb.

Pada masa sama kementerian itu juga ketika ini dalam proses menerima pendaftaran daripada pemilik Airbnb di seluruh Malaysia.

Selain itu, juga tidak bercadang membentangkan isu beberapa pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini tidak mengiktiraf perkhidmatan berkenaan.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, rasional tidak menghentikan perkhidmatan itu memandangkan ia adalah trend dalam industri pelancongan.

“Jika kita buat, ia perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan tidak melanggar undang-undang,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-22 di Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini.

Mengulas lanjut berkenaan status cukai pelancongan selepas penubuhan kerajaan baru, katanya, ia masih di dalam kajian dan belum diputuskan sama ada dikekalkan atau dihapuskan pada masa akan datang.

“Kita akan melihat jika cukai ini lebih mendatangkan kebaikan kepada negara, tidak ada sebab untuk kita batalkan.

“Kajian mengenainya mengambil masa dan sekiranya sudah diputuskan ia akan diumumkan kelak kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap sempena sambutan acara berkenaan, beliau berkata, pihaknya berharap agar muzium di Malaysia dapat dipertingkatkan dari segi kemudahan lain untuk melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance atau MyTQA selaras dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan kualiti produk pelancongan negara.

Katanya, Sambutan HMA di negara ini membuktikan komitmen muzium kita untuk terus memperkasakan fungsi dan peranan institusi permuziuman negara setaraf dengan muzium ternama dunia.

“Demikian juga, tenaga profesional dalam permuziuman harus dipertingkatkan. Muzium wajar mempersiapkan diri dalam mendepani masa depan yang semakin mencabar demi mengangkat martabat industri permuziuman kita.

“Saranan saya, persiapkanlah muzium kita dengan mencipta dan mempelbagaikan kaedah dalam menterjemah dan mempersembahkan koleksi yang ada. Ia satu kaedah terbaik untuk menarik pengunjung dari pelbagai peringkat usia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:15 PM