BUNGA Rafflesia juga terdapat di Taman Negeri Royal Belum.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Taman Negeri Royal Belum (TNRB) Gerik, Perak antara hutan hujan tertua di dunia yang dikatakan berusia 130 juta tahun.

Keindahan panorama hutannya pula tidak boleh disangkal kerana terdapat banyak khazanah alam termasuk memiliki 3,500 spesies flora dan fauna.

Kelebihan itu bukan saja menarik perhatian pelancong untuk meneroka khazanah rimba dalam hutan berkenaan malah saintis tempatan dan antarabangsa turut rancak membuat penyelidikan.

Lebih-lebih lagi selepas syarikat hartanah tempatan, Kumpulan Syarikat Emkay (Emkay) membina Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding (PBRRC) di bawah Yayasan Pulau Banding (YPB) pada 2008.

PBRRC berfungsi sebagai pusat penyelidikan kepelbagaian biologi daratan dan akuatik di sekitar TNRB dan Tasik Temenggor.

Ia juga sejajar dengan hasrat menjadikan PBRRC sebagai hab penyelidikan hutan hujan bertaraf dunia dan Hutan Royal Belum menjadi makmalnya pada masa hadapan.


PUSAT Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding dibina pada 2008.

Ketua Pegawai Esekutif YPB Datuk Dr Abdul Rashid Ab Malik berkata, pusat berkenaan menjalankan kajian berteraskan penyelidikan, pembelajaran, pemeliharaan dan pemuliharaan.

Beliau berkata, Hutan Royal Belum menyimpan banyak tumbuhan herba yang dipercayai mampu merawat penyakit kronik termasuk kanser.

“Sekumpulan saintis tempatan yang menyertai ekspedisi saintifik di hutan berkenaan pada September 2015 umpamanya menemui pokok sembelit darah yang dikatakan boleh merawat penyakit kencing manis jenis dua.

“Tumbuhan ini digunakan Orang Asli untuk mengubati penyakit berkenaan sejak sekian lama dan kita baru mengetahuinya (selepas ekspedisi),” katanya ketika ditemui Nuansa di PBRRC, baru-baru ini.


SEORANG peserta ekspedisi saintifik membentangkan kertas kerjanya.

Penulis berpeluang menyertai program Rakan Hutan Belum (BFF) sempena ulang tahun ke-10 Belum Conservation Malaysia (BCM) anjuran syarikat terbabit selama tiga hari di pulau berkenaan.

Menurutnya, haiwan hampir pupus iaitu tapir juga menjadi tumpuan penyelidik luar dari Universiti Kyoto, Jepun untuk datang ke TNRB bagi mengkaji perlakuan komunikasi, pembiakan dan pertumbuhan populasi haiwan itu.

“Kajian ini sangat penting sebagai langkah proaktif untuk mengelakkan tapir daripada terus diancam kepupusan.

“Hutan menjadi habitat kepada haiwan ini dan penerokaan hutan secara berleluasa menyumbang kepada pengurangan populasinya,” katanya yang memberitahu kajian berkenaan tamat tahun lalu.


MOHD Syaiful menunjukkan demosnstrasi penandaan

Dr Abdul Rashid berkata, Universiti Western Australia juga pernah datang untuk melakukan kajian mengenai nutrisi masyarakat Orang Asli yang tinggal di TNRB.

“Setiap hasil penyelidikan ini akan dilaporkan kepada pihak berkepentingan untuk tindakan selanjutnya.

“PBRRC mempunyai tiga saintis yang pakar dalam bidang masing-masing seperti ikan dan tumbuh-tumbuhan dan mereka adalah kakitangan sepenuh masa di YPB,” katanya.


SAINTIS dari Universiti Sains Malaysia, Dr Rahmat Zakaria menunjuk pokok akar julung hitam.

Pegawai Penyelidik PBRRC Mohd Syaiful Mohammad umpamanya, menjalankan program konservasi ikan kelah yang dilindungi di Tasik Temenggor.

“Ia termasuk menjalankan proses penandaan ikan menggunakan tag khas yang disuntik ke dalam perut ikan sebelum dilepaskan semula ke tasik berkenaan.

“Spesies ikan air tawar ini diancam kepupusan kerana sikap tamak manusia yang memburu haiwan berkenaan tanpa kawalan disebabkan nilainya yang tingginya di pasaran,” katanya.


IKAN kelah di air terjun Sungai Rouk, Taman Negeri Royal Belum.

Katanya, sejak ditubuhkan yayasan berkenaan sudah memberikan geran penyelidikan kepada lapan penyelidik tempatan berjumlah RM20,000 setiap seorang sebagai galakan melaksanakan penyelidikan.

Beliau berkata, usaha memulihara flora dan fauna hutan Royal Belum dijangka menjadi lebih rancak dengan berlangsungnya Sidang Kemuncak Hutan Hujan Belum 2018 (BRainS) pada 18 hingga 21 September ini di Resort Hutan Hujan Belum.

Jelasnya, dianggarkan 150 pakar alam sekitar tempatan dan antarabangsa akan menghadiri sidang kemuncak itu bagi membincangkan perkara berkaitan hutan berkenaan,


PESERTA ekspedisi saintifik menangkap ikan untuk penyelidikan.

“Tema BrainS 2018 ialah perkhidmatan ekosistem dan biodiversiti yang memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu konservasi hidupan liar, komuniti dan perhutanan sosial.

“Fokus ketiga pula adalah penyertaan pihak berkepentingan dan tadbir urus, pengurangan pelepasan akibat penebangan hutan (REDD) bersama isu serta cabaran sementara fokus yang kelima iaitu perubahan iklim dan perhutanan,” katanya.

Menghuraikan lebih lanjut, Dr Mohd Rashid berkata, sidang kemuncak itu dianjurkan YPB sebagai acara dua tahun sekali apabila penyelidik, ahli konservasi dan pihak berkepentingan lain berkongsi idea cara terbaik memelihara serta melindungi ekosistem hutan hujan tropika terbabit.


PELBAGAI spesies ikan terdapat di Taman Negeri Pulau Banding.

Katanya, antara perkara lain yang akan menjadi topik perbincangan dalam BrainS 2018 ialah ekspedisi saintifik ke dalam Kompleks Hutan Hujan Temenggor-Belum (BRTC) akan datang, kelestarian ekopelancongan dan rancangan tindakan untuk memerangi aktiviti haram seperti pemburuan haram di kompleks berkenaan.

Dr Mohd Rashid berharap, BrainS 2018 akan mencapai matlamatnya iaitu semua pihak berkepentingan dapat bekerjasama dalam mengekalkan kelestarian BRTC.

“Saya gembira usaha daripada kerajaan Perak dan organisasi konservasi membawa kepada perancangan baru untuk membendung masalah pembalakan dan pemburuan haram di kawasan berkenaan,” katanya.


SAINTIS menemui spesies kupu-kupu, The Malayan Owl.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:55 PM