PELBAGAI program sukarela diadakan di Zoo Taiping dan Night Safari.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Melawat taman haiwan atau lebih dikenali sebagai zoo antara aktiviti yang paling digemari golongan kanak-kanak terutama musim sekolah. Ini kerana ia bukan saja dapat mengisi masa santai, malah menambah pengetahuan mereka berkenaan alam semula jadi.

Meskipun melawat taman haiwan sering dikaitkan dengan si cilik, jangan tidak tahu ia juga menjadi tumpuan ramai pengunjung dewasa bagi melakukan aktiviti tanggungjawab sosial.

Kegiatan itu sering mendapat sambutan sama ada dari individu mempunyai kaitan secara langsung dengan haiwan, kumpulan korporat atau institusi pendidikan yang ingin menggalakkan orang ramai terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan perkara itu, penulis menemu bual Pengarah Zoo Taiping dan Night Safari yang juga Pengerusi Persatuan Taman Zoologi dan Akuaria Malaysia (MAZPA) Dr Kevin Lazarus.

Beliau berkata, aktiviti khidmat masyarakat di zoo Malaysia antara kegiatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak dan ia menjadi petanda orang awam semakin peka dengan kepentingan melindungi hidupan liar terutama spesies hampir pupus.

Katanya, zoo juga menjadi destinasi terbaik kepada golongan yang mempunyai hubungan rapat secara profesional dengan haiwan seperti pelajar veterinar yang ingin membuat latihan amali.

Katanya, seperti di Zoo Taiping dan Night Safari sendiri menerima sekitar 1,442 pengunjung daripada institusi pendidikan termasuk pelajar sekolah menengah serta rendah yang mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di zoo itu tahun lalu.


AKTIVITI sukarelawan di zoo mengeratkan hubungan manusia dan haiwan.

“Angka itu hanya membabitkan sukarelawan dalam kalangan pelajar dan ia sebenarnya lebih kerana terdapat juga golongan individu atau korporat mengadakan aktiviti sukarelawan di sini.

“Kebiasaannya sukarelawan melakukan tugas pembersihan di kawasan luar penempatan haiwan kerana tidak dibenarkan untuk mempunyai hubungan secara langsung dengan haiwan disebabkan faktor keselamatan,” katanya.

Dr Kelvin berkata, berbanding dengan individu yang mempunyai latar belakang formal dalam bidang zoologi dan mendapat perakuan daripada institusi diiktiraf, mereka dibenarkan untuk melakukan aktiviti mengendalikan haiwan dengan lebih dekat.

Zoo Taiping dan Night Safari juga mendapat sambutan sukarelawan dari luar negara bagi memberi pendedahan kepada pelancong berkenaan hidupan liar yang terdapat di Malaysia sambil beramal.

Dr Kelvin berkata, sukarelawan mengadakan aktiviti khidmat masyarakat tidak mempunyai tempoh khusus ditetapkan pihak zoo dan bergantung kepada permohonan peserta sendiri.

Kebiasaannya bagi kumpulan korporat atau institusi pendidikan, mereka meluangkan masa separuh hari untuk melakukan kerja amal di zoo berbanding golongan yang mempunyai latar belakang dalam bidang zoologi.

“Bagi mereka yang ingin mengadakan aktiviti sukarelawan di zoo perlu mengikut prosedur tertentu seperti menghantar surat permohonan kepada pihak kami. Perkara ini penting bagi memastikan pihak zoo dapat mengetahui latar belakang pemohon.

“Setakat ini kami menerima maklum balas positif daripada sukarelawan kerana mereka mempunyai minat dalam aktiviti khidmat masyarakat membabitkan pengurusan haiwan liar yang terdapat di sini,” katanya.


BEKERJASAMA membersihkan zoo dapat mengeratkan hubungan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:53 PM