Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Penganjuran sesuatu karnival semestinya dapat menarik perhatian orang ramai untuk menyertainya. Apatah lagi, ia menawarkan aktiviti yang boleh disertai orang ramai tanpa mengira usia.

Memandangkan kegiatan menunggang BMX boleh dikategorikan sebagai aktiviti keluarga dan santai, setiap kali penganjurannya sama ada dalam bentuk kejohanan mahupun perhimpunan sesama peminatnya, ia pasti menarik kehadiran ramai.

Baru-baru ini, Nuansa berkesempatan mengunjungi acara BMX yang membawa pengunjung untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan aktiviti itu pada sekitar 80-an yang dikenali sebagai BMX Back To 80s Mega Gathering.

Acara itu yang berlangsung di Sendayan Extreme Park, Negeri Sembilan dianjurkan BMX Back To 80s Sdn Bhd dianggarkan menarik kira-kira 1,000 pengunjung terdiri daripada penggiat aktiviti berkenaan dan juga orang ramai.


GOLONGAN remaja yang menyertai acara perlumbaan.

Acara tahunan yang diadakan sejak 2016 itu bukan saja menjadi perhimpunan peminat BMX dalam kategori Old School, malah menawarkan pelbagai aktiviti seperti kejohanan perlumbaan, pameran basikal daripada golongan pengumpul BMX dan pertunjukan aksi Flatland.

Kejohanan perlumbaan BMX yang memerlukan peserta menampilkan aksi memecut di litar lumba yang mencabar seperti mengharungi berbukit tinggi mampu menarik penyertaan dianggarkan 400 pelumba.

Pengurusnya, Mohd Azrin Md Tom berkata, memandangkan acara kali ini menawarkan pelbagai kejohanan, ia mampu menarik perhatian kelab BMX tempatan dan luar negara untuk turut sama menyertainya.

Beliau berkata, antara rakan dari negara asing yang turut sama adalah peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Jepun. Mereka adalah penggiat Old School BMX di negara masing-masing.


AKSI pelumba ketika acara perlumbaan bermula.

“Dalam tempoh tiga tahun kami mengadakan acara ini, pada tahun ini terbesar dan saya rasa bagi acara Old School BMX, ia terbesar setakat ini bersandarkan kepada jumlah penyertaan peminatnya.

“Sebenarnya untuk menganjurkan acara seperti ini agak mencabar kerana kami memerlukan sokongan kewangan dan setakat ini masih ada minat daripada pihak penaja untuk membolehkan kami menghimpunkan peminat BMX dalam pelbagai disiplin,” katanya.

Memandangkan acara itu mengangkat tema klasik, pengunjung dapat melihat pelbagai pameran basikal BMX lama yang mempunyai nilai tinggi dipertontonkan dan juga aksesori lain yang menghidupkan suasananya.

Terdapat juga peserta kejohanan perlumbaan yang memakai pakaian perlumbaan gaya lama yang lebih bersahaja ketika acara itu berlangsung yang sememangnya mencuri perhatian pengunjung.

Tidak terkecuali di dalam acara itu juga dapat dilihat peminat basikal BMX yang terdiri daripada golongan wanita yang tidak kekok mempamerkan kehebatan masing-masing.


PESERTA daripada pelbagai peringkat umur yang menyertai acara.

Dari segi pameran basikal juga, ia menerima sambutan yang baik kerana terdapat banyak jumlah basikal yang tersusun di tapak pameran. Semestinya bagi mereka yang tidak tahu mengenai nilai sesebuah basikal BMX, pasti mengagak ia adalah basikal murah.

Bagaimanapun, penulis sendiri terkejut apabila ada sebuah basikal yang dipertontonkan kepada orang ramai berharga mencecah RM40,000 seunit dan majoriti komponennya diimport dari pelbagai negara asing.

Lebih menarik ketika Nuansa mengunjunginya, dapat dilihat kanak-kanak di bawah usia 12 tahun turut serta dalam kejohanan berkenaan ditemani ibu bapa masing-masing yang memberi sokongan.

Ternyata, BMX Back To 80s Mega Gathering yang dianjurkan itu berjaya menampilkan keunikan tersendiri dan mampu menarik kehadiran peminat BMX dari negara asing untuk melihat sendiri perkembangan aktiviti itu di negara ini.


PELBAGAI komponen basikal BMX yang ditawarkan kepada peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 1:26 PM