PERBINCANGAN berkenaan hala tuju industri fesyen memainkan peranan penting.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Malaysia sememangnya mempunyai banyak institusi pendidikan menyediakan pelbagai kursus dalam bidang fesyen yang mampu melahirkan ramai pereka berdaya saing dalam industri berkenaan.

Malah, jika melihat kepada institusi pendidikan tinggi itu sendiri hakikatnya mempunyai pelajar dari luar negara yang menimba ilmu di negara ini dalam bidang fesyen sekali gus membantu meningkatkan kedatangan pelancong asing dalam segmen pelancongan pendidikan.

Memandangkan industri fesyen mampu memberi kesan yang positif dalam industri pelancongan dan ekonomi khasnya, pelbagai pihak khususnya institusi pendidikan memainkan peranan penting untuk merancakkan lagi penghasilan seni fesyen bagi menarik kehadiran pelancong ke negara ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam Faizal Hamid berkata, industri fesyen tempatan sememangnya sudah lama bersedia untuk menembusi pasaran asing.

Katanya, ilmu pendidikan dalam bidang itu ketika ini diperluaskan dalam pelbagai aspek lain seperti pemasaran yang memainkan peranan begitu penting bagi membolehkan pereka fesyen tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kesedaran masyarakat asing berkenaan jenama tempatan sememangnya ada tapi dari segi menembusi perniagaan secara makro ke negara asing masih belum ada yang mampu melakukannya.

“Jika kita lihat jenama asing yang berjaya membuka operasi perniagaan mereka secara meluas ke peringkat antarabangsa, mereka bukan saja mempunyai kepelbagaian reka fesyen yang menarik malah turut mempraktikkan aktiviti pemasaran berkesan,” katanya.

Faizal berkata, Malaysia mempunyai pelbagai warisan fesyen yang menarik dan sudah sinonim dengan nama negara seperti batik dan songket yang sentiasa menjadi ‘buruan’ pelancong asing apabila mereka melawat Malaysia.


FAIZAL (kiri) memberi penerangan kepada pelajar fesyen.

Bagaimanapun katanya, pereka fesyen tempatan perlu bijak mengolah karya seni mereka untuk membolehkan fesyen berkenaan dapat meluaskan jejaknya ke pasaran asing.

“Jika kita lihat jenama premium antarabangsa turut bekerjasama dengan artis seni reka yang boleh menghasilkan satu karya fesyen menarik. Pada masa sama, ia turut mampu mengangkat jenama sendiri menerusi kerjasama berkenaan.

“Jadi, di Malaysia pemain industri fesyen yang mempunyai karya yang dilihat berpotensi untuk menembusi pasaran asing, perlu bijak menggunakan strategi seperti ini untuk meningkatkan penguasaan pasaran mereka bukan saja domestik malah di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai infrastruktur dagangan yang baik dengan wujudnya pelbagai pusat membeli-belah fizikal dan atas talian yang sedia untuk menjual pelbagai hasil reka fesyen pereka tempatan.

Ujarnya, cabaran ketika ini adalah menghasilkan pelbagai rekaan yang mampu memikat pembeli, berbeza dengan pesaing dan meneroka segmen fesyen jarang diterokai pemain industri lain.

“Seperti kita tahu, negara ini mempunyai banyak pemain industri fesyen yang muncul tapi tidak berani untuk menghasilkan produk unik dan berbeza walaupun ia sebenarnya mampu memikat pembeli.

“Meskipun Malaysia terkenal dengan busana Muslim yang moden dalam kalangan pembeli antarabangsa, kita boleh memperluaskannya kepada segmen yang jarang diterokai seperti pakaian sukan,” katanya.


JENAMA tempatan turut mampu menembusi pasaran asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:13 AM