TUMPUAN di dalam kelas membantu pelajar supaya tidak tercicir.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bulan lalu menyaksikan ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula menyambung pengajian sama ada di peringkat asasi sains, matrikulasi atau program diploma.

Selepas meninggalkan alam persekolahan hampir enam bulan, pastinya momentum segelintirnya masih perlahan.

Apatah lagi, perlu menyesuaikan kehidupan sebagai pelajar yang jauh berbeza dengan alam persekolahan.

Segelintir pelajar gerun mendengar asasi sains, matrikulasi atau tingkatan enam, bagi mereka ketiga-tiga cabang pengajian itu menguji mental dan fizikal, semua perlu pantas bagi mengelak keciciran ketika pengajian.

Bagaimanapun, ia menjadi penghubung dalam melengkapkan persediaan sebelum bergelar siswa.

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Norihan Md Arifin menegaskan, pelajar perlu sedar kehidupan di pusat asasi, matrikulasi atau diploma berbeza dengan alam persekolahan.


ALAM persekolahan berbeza dengan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Katanya, tiada lagi istilah ‘suapan’ nota daripada guru sebaliknya pelajar perlu mencari sendiri dan berdikari untuk mendapatkan maklumat berkenaan pengajian masing-masing.

“Pusat asasi sains, matrikulasi dan diploma itu sebenarnya proses sebenar untuk pelajar melakukan persediaan sebelum bergelar siswa.

“Di sini mereka dilatih menjadi seorang yang bersedia melangkah ke peringkat sarjana,” katanya.

Jelasnya, segala-galanya perlu diuruskan sendiri dan tidak hanya berharap kepada kuliah semata-mata.


ALAM universiti suatu yang baru kepada pelajar lepasan sekolah.

“Perlu ingat, pengajian dan pembelajaran tidak lagi serupa dengan sekolah. Di sini mereka perlu membuat sendiri sama ada mencari nota kuliah, pensyarah masih memberi nota ketika kuliah, tapi untuk dapat maklumat tambahan adalah usaha pelajar.

“Di sini juga pelajar perlu rajin bertemu pensyarah bagi memastikan pengajian berjalan lancar, tugasan kuliah dan tutorial juga perlu disiapkan dengan cepat serta lengkap.

“Pembelajaran masih mengikut keperluan pendidikan negara, cuma pelajar perlu lebih berusaha kerana tiada lagi istilah kelas tambahan atau latih tubi seperti sekolah sebaliknya kena belajar sendiri atau secara berkumpulan,” katanya.


KEPUTUSAN baik menjamin kejayaan cemerlang mahasisiwa.

Dr Norihan berkata, pelajar dan ibu bapa perlu memahami matlamat sebenar memilih untuk menyambung pengajian di institusi berkenaan.

Katanya, memilih melanjutkan pengajian di peringkat asasi sains, memerlukan pelajar itu bersedia dan minat dengan subjek sains seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik Tambahan.

“Buat pilihan tepat, kerana di sini semuanya pantas. Jangan kerana mahu ikut kawan, kita gagal kerana tidak minat dengan pengajian di sini.


SISWA perlu sentiasa berhubung dengan pensyarah supaya tidak tercicir dalam pengajian.

“Sama juga dengan ibu bapa, minta selidik dulu latar belakang pusat asasi dan bentuk pengajian, bukan sebab anak hendak menjadi doktor maka asasi jadi pilihan.

“Kami di sini, kerap dipersoalkan segelintir ibu bapa terutama berkenaan kelas tambahan atau tuisyen, kenapa ia berbeza dengan pengajian di sekolah. Kadang-kadang soal pengurusan anak di asrama seperti waktu bangun tidur anak turut dipersoalkan,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan pelajar memahami suasana pengajian di sini yang jauh berbeza dengan persekolahan.


BELAJAR berkumpulan trend penuntut institusi pengajian tinggi.

“Pembelajaran di sini menumpukan kepada penyelesaian masalah yang memerlukan pelajar memahami konsep terlebih dahulu sebelum menyelesaikannya.

“Berbeza di sekolah, pelajar diajar menjawab soalan secara hafalan. Keadaan itu menyebabkan segelintir pelajar menghadapi masalah sepanjang pengajian antaranya tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik seterusnya gagal,” katanya.

Katanya, pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat asasi diingatkan manfaatkan peluang itu sebaiknya kerana hanya ‘selangkah’ saja lagi untuk ke peringkat ijazah.


MAHASISWA cemerlang memerlukan komitmen tinggi dalam kuliah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:15 PM