LEONNA, pelukis muda yang berazam memperjuangkan karya seni pirografi di Malaysia.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Pirografi atau penghasilan lukisan di atas kayu dengan kaedah pateri sudah lama diaplikasikan pelukis luar negara dalam menghasilkan karya mereka.

Namun, itu tidak bermakna pelukis tempatan ketinggalan kerana masih ada yang berbakat dan mahir menghasilkan karya pirografi walaupun ia memerlukan kemahiran serta ketelitian.

Seorang daripadanya adalah penuntut jurusan Pendidikan Seni dan Seni Reka, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Leonna Dail, 23, yang memenangi hadiah utama bagi Pertandingan Seni MIDF 2018 menerusi lukisan bertajuk Peacock (Merak), baru-baru ini.

Kemenangan itu melayakkan gadis berasal dari Ranau, Sabah itu menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,500.

“Saya mewarisi bakat melukis ini daripada ayah yang juga guru seni cuma kecenderungan saya lebih kepada lukisan pirografi.

“Seni ini bukan lagi asing di luar negara terutama negara barat cuma di Malaysia, tidak ramai lagi artis atau pelukis yang berminat menghasilkan karya sebegini.

“Meskipun begitu, penghasilannya tidak mudah kerana bukan dilukis di atas kanvas, tapi kayu. Jadi ia perlu teliti bagi mengelak berlaku kesilapan,” katanya.


KARYA pirografi bertajuk Peacock yang dihasilkan Leonna.

Leonna berkata, antara cabaran utamanya dalam menghasilkan karya berkenaan adalah ketika proses memateri terutama untuk garisan dan corak yang agak halus.

Katanya, dia sendiri melakukan tiga percubaan sebelum mendapatkan hasil yang diinginkan walaupun ada melakukan kesilapan pada peringkat awal.

“Jujurnya, saya tidak tahu cara memateri pada awalnya, tetapi belajar melakukannya untuk menghasilkan karya pirografi yang diinginkan.

“Selain fokus, berhati-hati ketika memateri bagi mengelak kecederaan namun ada kalanya ia tidak dapat dielakkan.

“Tangan saya sendiri pernah cedera ketika proses memateri kerana tidak menggunakan sarung tangan, tapi kesakitan itu berbaloi akhirnya apabila karya dihasilkan mendapat pengiktirafan juri dalam pertandingan berkenaan,” katanya yang mengambil masa seminggu untuk menghasilkan karya berkenaan.


LEONNA tekun ketika memateri lukisan yang dihasilkannya.

Menurut Leonna, kemenangan dalam pertandingan berkenaan memberinya semangat untuk terus berkarya khasnya dalam memperjuangkan seni pirografi.

Penuntut semester lapan itu berkata, dia yakin seni pirografi boleh diterima ramai dan mempunyai peminat tersendiri cuma sebagai pelukis, dia perlu bijak memperkenalkannya kepada umum.

“Di Malaysia, saya mengagumi karya Haafiz Shahimi sementara Dino Muradian dan Julie Bender pula antara pelukis luar negara yang saya kagumi.

“Selain mereka sebagai inspirasi, saya turut menjadikan imej di Google dan YouTube rujukan dalam menghasilkan sesuatu karya.

“Selebihnya, saya gunakan kreativiti yang ada untuk menghasilkan lukisan termasuk dengan menjadikan haiwan seperti merak sebagai subjek utama,” katanya.


BERSAMA hadiah kemenangannya dalam Pertandingan Seni MIDF 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 2:03 PM