PENGUNJUNG melihat karya yang dipaerkan di Pameran Dari Ladang Ke Galeri: 'Rub A Paint'.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Mempunyai ciri hampir sama dengan cat akrilik, tapi ia lebih cepat kering apabila diwarnakan di atas kanvas.

Langsung tidak menampakkan perbezaan dan yang pastinya akan membuatkan penonton 'terpedaya' dengan keindahan lukisan menggunakan cat berkenaan kerana menyangka ia cat akrilik.

Itu antara kelebihan warna getah yang dihasilkan menerusi penyelidikan dilakukan Lembaga Getah Malaysia.

Hasil inovasi warna getah terbabit akan meluaskan lagi pilihan medium kepada pengkarya seni visual untuk menghasilkan kerja mereka.

Warna getah itu menggunakan 30 peratus getah asli dan ia lebih mesra alam. Ramai tidak menyangka getah boleh dijadikan warna kerana ia sangat terkenal dalam penghasilan produk berasaskan getah.

Bagaimanapun, keindahan lukisan yang dihasilkan menggunakan warna getah boleh dihayati dalam Pameran Dari Ladang Ke Galeri: 'Rub A Paint.'

Ia diadakan bagi mengangkat potensi inovasi warna getah dalam pameran yang berlangsung dari 4 hingga 24 Jun ini.

Pameran terbabit menghimpunkan 15 pelukis tempatan dan dua pelukis antarabangsa mempersembahkan 85 karya yang pelbagai.

KETUA Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa (kiri) dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Dr Zairossani Mohd Nor melawat Pameran Dari Ladang Ke Galeri: 'Rub A Paint'.

Pelukis, Zaharuddin Sarbini berkata, beliau mempamerkan lima karyanya dengan tiga daripada itu adalah siri tragedi manggis, tembikai dan durian.

"Sepanjang lebih 20 tahun menjadi pengkarya seni visual, ini pertama kali menghasilkan lukisan menggunakan warna getah di atas kanvas.

"Pada mulanya sedikit kekok kerana sudah biasa menggunakan medium akrilik, tapi kemudian boleh mendapat rentaknya," katanya.

Katanya, beliau memilih buah-buahan tempatan kerana ia terlalu hampir dengan dirinya sejak kecil dan mudah didapati berhampiran kediamannya.

"Lukisan itu turut membawa mesej tersirat yang mana jangan memandang sesuatu hanya pada luarannya. Tidak berapa cantik seperti kulit manggis namun isinya putih, bersih dan rasanya pula manis.

"Selain itu, lukisan berkenaan juga mengingatkan anak-anak yang menetap di ibu kota supaya jangan hanya pulang ke kampung halaman pada musim buah-buahan saja.

"Pulang ke kampung menziarahi ibu bapa selalu kerana mereka sentiasa menantikan kepulangan anak-anak dan cucu," katanya.

ZAHARUDDIN bersama karyanya bertajuk Tiga Siri Tragedi Manggis.

PAMERAN DARI LADANG KE GALERI: 'RUB A PAINT.'

• ARTIS: 15

• KARYA: 85

• TARIKH: 4 hingga 24 Jun 2018

• TEMPAT: Balai Seni Negara

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang

• LAMAN WEB: www.artgallery.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 1:58 PM