PINTU gerbang ke Pasar Karat Johor Bahru yang mempunyai elemen klasik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Jelas terasa kemeriahannya ketika kenderaan yang dipandu penulis melalui pintu gerbang utama memasuki bazar itu. Alunan lagu yang dipasang kuat merancakkan lagi suasana dan kadangkala terasa bagaikan berada di dalam sebuah festival.

Nama Pasar Karat Johor Bahru bukan sesuatu yang asing bagi warga Johor dan cukup terkenal buat pengunjung dari negara seberang tambak, Singapura.

Sebaik saja memasuki pintu gerbang itu, kelihatan orang ramai asyik menari pelbagai lagu yang dipasang dari sebuah kedai. Penarinya juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Lebih menarik, setiap lagu yang diperdengarkan menjadi tarikan pelbagai kaum hingga mencetuskan aura keharmonian.

Kaki penulis terus melangkah dalam pasar karat itu dan kelihatan pelbagai barangan dijual peniaga tempatan. Sebut saja barangan apa yang diinginkan semuanya tersedia untuk pengunjung.

Terdapat juga pelbagai produk mempunyai jenama tempatan terutama jersi pasukan bola sepak kesayangan buat ‘bangsa’ Johor, Johor Darul Takzim (JDT) yang dijual.

Bukan sekadar itu, kerana boleh dikatakan setiap kali melalui sepuluh baris gerai pasti kedengaran alunan muzik yang diperdengarkan secara langsung oleh pelbagai kumpulan pemuzik. Ia menjadi salah satu tarikan kepada orang ramai untuk berada di kawasan itu.

Ada barangan baru yang unik, tidak terkecuali juga barangan terpakai ditawarkan di pasar karat itu seperti kasut dan baju dengan harga murah.


AKTIVITI menari pengunjung ke pasar karat.

Terdapat juga beberapa gerai yang menjual barangan lama terutama cakera padat penyanyi lama yang kini sukar didapati. Ada juga peniaga yang menjual piring hitam dan suasana pastinya mengimbau nostalgia silam.

Pengerusi Peniaga Bazar Johor Bahru, Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata, pasar karat adalah bazar yang paling terkenal di Johor dan ia mampu menarik ramai pengunjung sama ada penduduk setempat mahupun dari Singapura.

Katanya, pasar karat yang mula beroperasi pada 2009 itu kini mempunyai lebih 600 gerai mengisi sepanjang laluan di Jalan Segget dengan menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Pada mulanya pasar karat dibangunkan bagi membolehkan ramai usahawan khasnya mereka yang menjual barangan lama atau antik kerana ia mampu memberi keunikan atau tarikan kepada bazar terbabit.

“Namun, hari ini barangan antik atau terpakai semakin kurang dijual peniaga kecil di sini. Mereka lebih gemar menjual barangan baru dan moden kepada pengunjung.

“Bagaimanapun, kami kini dalam proses untuk mewujudkan sebuah kawasan di dalam pasar karat yang menjual barangan antik dan terpakai saja. Ia bagi memastikan barangan jenis ini terus dapat ditawarkan kepada orang ramai,” katanya.

Berada di dalam pasar karat itu juga dapat disimpulkan bahawa ia antara aktiviti yang menarik untuk dikunjungi pelancong asing kerana mereka bukan saja dapat membeli-belah dan berhibur, malah di kiri dan kanan gerai terdapat bangunan perniagaan tinggalan sejarah.

“Selain itu, dari segi makanan pula, di sini terdapat begitu banyak pilihan makanan tempatan. Paling menarik berhampiran pintu gerbangnya terdapat sebuah restoran menyediakan pelbagai menu ringkas ‘klasik’ seperti lempeng dan ubi rebus yang boleh dimakan dengan sambal ikan bilis.

“Boleh dikatakan, sekiranya ke Johor Bahru, kunjungan kurang lengkap jika tidak singgah ke pasar karat ini,” katanya.


PENGEMBARA asing yang turut kelihatan di pasar karat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 12:54 PM