PIHAK bomba mengajar peserta memadam kebakaran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Selepas lebih 30 tahun beroperasi, syarikat Allnex Resins Malaysia Sdn Bhd, Melaka julung kalinya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pondok Barakatul Qodiri, Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Program berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Melaka.

Pondok yang dibina di atas tanah persendirian seluas 1.6 hektar itu menempatkan 42 pelajar dan guru, turut menyediakan kemudahan untuk suami isteri yang berminat mendalami ilmu keagamaan secara tetap di samping memberikan kelas agama percuma kepada masyarakat setempat.

Pengurus Tapak Allnex Resins Malaysia, Lim Kian Beng berkata, program berkenaan dapat mengeratkan hubungan antara syarikat itu dan agensi kerajaan dengan sekolah terbabit.

Bahkan katanya, syarikat itu membawa misi yang lebih besar iaitu perkongsian ilmu bersama pelajar berkenaan cara menangani dan pencegahan kebakaran serta pemuliharaan alam sekitar.


PESERTA tekun mendengar taklimat berkenaan penjagaan

“Ia sejajar dengan saranan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan di pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat di negara ini.

“Ilmu yang diberikan membolehkan pelajar menyelamatkan diri atau memadam api jika berlaku kebakaran pada peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, taklimat berkenaan bahaya kebakaran, cara menangani, pencegahan dan pemadaman kebakaran disampaikan Pegawai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Mohammad Ismail Harun.

“Latihan penggunaan alat pemadam api dan pengendalian hos bomba juga diberikan supaya mereka boleh menggunakan peralatan itu jika berlaku kebakaran di sekolah.

“Ia kelihatan mudah, namun memerlukan latihan supaya dapat mengendalikan peralatan dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Allnex Resins Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Hock Guan Enterprise Sdn Bhd menyumbangkan lima alat pemadam api.

Sementara Jabatan Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah pula menyumbangkan lima alat pengesan asap kepada pondok berkenaan.


SUKARELAWAN yang terbabit dengan CSR Allnex Resins Malaysia di Pondok Barakatul Qodiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:36 PM