MUZIUM Sultan Alam Shah sentiasa menjadi tarikan pelancong.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Terletak di tengah Shah Alam, bangunan dengan seni bina moden berwarna putih dan beratap kebiru-biruan sememangnya menarik perhatian sesiapa saja yang melewatinya.

Tidak lain, itulah bangunan Muzium Sultan Alam Shah, antara muzium di bawah kelolaan Selangor yang menyimpan 6,000 artifak berkaitan sejarah negeri itu sedia dipamerkan kepada pengunjung.

Kali pertama mengunjungi muzium ini, kelihatan deretan pakaian tradisional masyarakat Melayu dipamerkan dan sedia untuk dipakai pengunjung sekiranya berminat untuk mengenakan busana berkenaan.

Pecahan pelbagai etnik masyarakat yang menjadi sebahagian daripada penceritaan sejarah Selangor antara yang menjadi tarikan dalam Galeri Adat Warisan di muzium berkenaan.

Diperkenalkan pada tahun lalu itu, ia mencakupi galeri sedia ada yang terdapat di muzium berkenaan sekali gus menceritakan ruang lingkup sejarah pembangunan negeri dan perkembangan agama.


PELBAGAI artifak menarik dipamerkan di Muzium Sultan Alam Shah.

Pegawai Maklumat Muzium, Farhani Shamsudin berkata, muzium seluas 12,541 meter persegi (135,000 kaki persegi) itu mempunyai pelbagai artifak. Daripada 6,000 artifak dimiliki hanya 4,000 dipamerkan dan selebihnya ditukar ganti dari semasa ke semasa untuk pameran tertentu.

Beliau berkata, memandangkan ia lengkap dengan pelbagai jalan cerita sejarah pembangunan Selangor, orang ramai turut berpeluang melihat beraneka senjata yang pernah digunakan tentera ketika berlaku peperangan.

“Bagi menghidupkan lagi keadaan di galeri berkaitan revolusi peperangan yang pernah berlaku, pengawal keselamatan berkhidmat di sini juga memakai pakaian ala tentera lama bagi memberi aura kepada pengunjung.

“Tidak sekadar berkenaan peperangan yang pernah berlaku di sini, orang ramai juga dapat melihat keindahan sulaman tekad bunga tanjung terpanjang di Malaysia yang mana ia adalah salah satu seni menarik di negeri ini,” katanya.


PENGUNJUNG leka melihat keunikan tenunan sulaman tekad bunga tanjung terpanjang di Malaysia.

Anda yang membawa anak-anak ke muzium ini pula, pelbagai aktiviti boleh disertai termasuk permainan tradisional yang dipamerkan seperti congkak, ting-ting dan sepak bulu ayam.

Ketika berada di sana, kelihatan seorang kanak-kanak yang teruja dengan aktiviti permainan tradisional seperti itu kerana sebelum ini mungkin lebih cenderung dengan bermain video di dalam peranti pintar.

Pegawai bertugas pula sedia memberikan penerangan berkenaan artifak dipamerkan terutama kepada pengunjung yang datang secara berkumpulan.

Farhani berkata, sekiranya orang ramai ingin mengadakan lawatan berkumpulan boleh memaklumkan kepada pihak muzium bagi membolehkan mereka menyediakan pegawai maklumat.

“Sekiranya anda datang secara berkumpulan, kami juga boleh menyediakan pelbagai aktiviti lain yang sesuai,” katanya.


AKTIVITI bermain congkak boleh disertai orang ramai bagi memperkenalkan permainan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:16 AM