REPLIKA dalam Gua Jabal Tsur.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Ketika melangkah masuk ke dalam salah satu galeri, terasa seperti berada di zaman lain. Kedengaran pula bunyi audio berbahasa Arab membawa penulis seakan-akan bukan berada di Malaysia.

Kadangkala, berselisih jalan dengan petugas galeri lengkap berjubah dan berserban menghadiahkan senyuman, terasa begitu asing sekali berada di dalam ruang bertembok batu tiruan seperti kediaman penduduk kampung di timur tengah.


PETUGAS galeri melihat replika pedang yang digunakan dalam peperangan.

Itulah antara suasana yang berjaya dicipta Kompleks Seni Islam Antarabangsa (SIIAC) yang terletak di Selangor untuk membawa pengunjung menyusuri sejarah silam baginda Rasulullah dari sebelum detik kelahirannya hingga menjadi pemimpin terhebat dunia dan wafat.

Galeri itu yang dinamakan sebagai Rehlah Nabawiyyah dipecahkan kepada beberapa bahagian yang setiap satunya menceritakan sejarah tertentu berkaitan perjalanan hidup baginda.

Memasuki setiap satu ruang di dalam galeri itu membuatkan penulis berasa ingin terus mengetahui perjalanan hidup pemimpin agung itu kerana pelbagai elemen teknologi digunakan bagi menghidupkan suasananya.


MODEL dan replika perang ketika zaman Rasulullah menjadi tarikan kanak-kanak.

Pegawai Khas kepada Pengurus Besar (Pembangunan dan Strategi Pemasaran) SIIAC Ida O’Hara Ismail Azman berkata, di dalam SIIAC terdapat tiga galeri utama iaitu Rehlah Nabawiyyah, proses membuat mushaf al-Quran yang menggunakan salinan tangan dan ketiga galeri jualan.

Beliau berkata, semua barang keperluan di dalam galeri yang menceritakan kisah hidup Rasulullah dibuat sendiri untuk dijadikan replika. Ia bagi memudahkan orang ramai dapat lebih memahami kisah hidup baginda.

“Menerusi penambahan elemen teknologi di dalam galeri ini melengkapkan lagi suasana yang lebih menarik kepada orang ramai untuk terus membaca dan memahami sejarah pemimpin terhebat ini.

“Di sini, pengunjung dapat melihat sendiri sejarah atau kisah hidup Rasulullah yang berjuang untuk memastikan Islam terus berkembang. Selain itu, cabaran seperti peperangan yang perlu dilalui baginda turut ditonjolkan menerusi replika,” katanya.


SALAH satu replika ruangan tempat tinggal Rasulullah yang dibina semula.

Apabila tiba di dalam ruangan proses membuat mushaf al-Quran, kelihatan beberapa anak muda sedang berlatih menulis tulisan khat dengan tekun kerana mereka antara individu yang melakukan proses salinan berkenaan.

Seni khat yang ditonjolkan pula boleh dipuji kerana setiap huruf jawi disambung untuk menjadi sepotong ayat sememangnya kemas dan terjalin dengan baik antara satu sama lain.

Secara keseluruhannya berada di SIIAC memperlihatkan keindahan seni Islam tersendiri. Apatah lagi, ketika Ramadan ini, mengunjungi sebuah lokasi yang penuh dengan cerita baginda Rasulullah pasti mempunyai ganjarannya.


PETUGAS galeri leka melakarkan seni khat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:11 AM