MALAYSIA menjadi pilihan pemain industri Eropah.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Malaysia dipilih sebagai destinasi mesyuarat Persatuan Ejen Pelancongan dan Operator Eropah (ECTAA) bermula pada 7 hingga 9 Mei lalu dan acara itu adalah kali pertama diadakan di luar negara rantau Eropah.

Pengarah Besar Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata, pemilihan Malaysia sebagai destinasi mesyuarat berkenaan sempena ECTAA bekerjasama dengan Malaysia sebagai rakan destinasi 2018.

Katanya, mesyuarat itu juga mampu memberi kesan yang positif kepada industri pelancongan Malaysia khususnya dalam menonjolkan jenama dan kehadiran negara dalam pelancongan antarabangsa sejajar dengan inisiatif Melawat Malaysia 2020.

"Jujurnya kami ingin terus mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam pasaran antarabangsa. Kami berharap dapat memberi kerjasama yang baik kepada rakan dari Eropah selain komitmen untuk meningkatkan pelancongan.

"Tahun lalu, Malaysia mencatatkan kemasukan 25.9 juta pelancong dengan menerima nilai perbelanjaan sebanyak RM82.2 bilion yang 1.1 juta pelancong dari Eropah," katanya.

Langkah seterusnya yang dilakukan Malaysia bagi mengukuhkan kehadiran lebih ramai pelancong dari Eropah antaranya menjadi rakan rasmi negara bagi Pelancongan Antarabangsa Berlin (ITB).

Ketika ini, ECTAA menjadi wakil bagi persatuan agensi dan operator pelancongan nasional untuk 27 ahli Eropah, Switzerland dan Norway serta tiga ahli antarabangsa yang lain.

Mesyuarat berkenaan menyaksikan 50 peserta berkumpul di Malaysia terutama membabitkan pengurus tertinggi, pembuat keputusan dalam industri pelancongan.

Ini sekali gus memberi peluang kepada Malaysia untuk menonjolkan destinasi pelancongan terbaik kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:06 AM