PESERTA bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.
NURAININA Natasha dinobatkan sebagai juara manakala Muhammad Syafiq Farhan bergelar naib juara.
HM Digital

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurainina Natasha Zulkifli dan Muhammad Syafiq Farhan Boo Omar Boo dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal mewakili negara dalam Pertandingan ‘The 17TH Chinese Bridge’ di Chang Sha, Wilayah Hunan, China , Julai depan.

Kedua-duanya terpilih menyertai pertandingan berkenaan selepas bergelar juara dan naib juara dalam Pertandingan Chinese Bridge: Chinese Profiency Competition - Malaysia Regional Preliminary 2018 yang diadakan di Auditorium Institut Kong Zi, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Penyertaan mereka dalam pertandingan itu nanti akan ditaja sepenuhnya Ibu Pejabat Institut Confucius (HANBAN), Beijing di China.

Pengarah Institut Kong Zi, Prof Madya Dr Noor Zalina Mahmood berkata, seramai 31 penuntut universiti awam dan swasta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan edisi kelapan itu.

Katanya, mereka terdiri daripada penuntut universiti atau kolej tempatan yang berumur antara 18 hingga 30 tahun yang bukannya penutur jati bahasa Mandarin.

“Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia dan ditaja HANBAN.

“Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada penuntut pelbagai bangsa yang terdiri daripada Melayu, India dan lain-lain menunjukkan kebolehan mereka bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Pertandingan itu juga bertujuan memupuk minat dan memberi pendedahan kepada penuntut universiti untuk mempelajari bahasa Mandarin serta mengenali budaya masyarakat Cina.

Menurut Dr Noor Zalina, pertandingan itu di bahagikan kepada dua bahagian iaitu A dan B dengan setiap satunya memberi markah sebanyak 50 peratus.

Katanya, pemarkahan bahagian A diberi mengikut pecahan iaitu pengenalan diri (10 peratus), pengucapan awam mengikut tema ditetapkan (30 peratus) dan sesi soal jawab bersama juri (10 peratus).

“Sementara itu, bahagian B menguji kreativiti peserta membuat persembahan bercirikan elemen kebudayaan Cina seperti menyanyi, menari, bermain permainan tradisional, muzik dan lain-lain.

“Menariknya, kostum dan peralatan perlu disediakan sendiri oleh peserta untuk persembahan yang mengambil masa antara tiga hingga lima minit,” katanya.

Pertandingan itu diadakan sejak 2002 dan tahun ini, ia dirasmikan Pengarah Pejabat Kebudayaan Kedutaan China di Malaysia Zhang Jie Xin.

Antara universiti yang menghantar wakil bagi menyertai pertandingan berkenaan adalah UiTM, UPM, Universiti Utara Malaysia (UUM ), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).-Redzuan Muharam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:44 AM