RUMAH inap desa di kawasan kampung memberi ketenangan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Sebaik saja jendela rumah kayu ini dibuka, kelihatan seluas-luasnya pemandangan padi menguning yang hanya menunggu masa sesuai untuk dituai. Kelihatan juga burung-burung berterbangan bebas yang sememangnya menjentik rasa cemburu di hati penulis.

Begitulah perasaan dialami penulis sebaik saja berada di salah satu kawasan inap desa di Kampung Sungai Hj Dorani, Sungai Besar, Selangor yang menawarkan pengalaman percutian ala kampung.

Difahamkan di kawasan berkenaan juga terdapat kira-kira 20 rumah inap desa milik penduduk kampung kepada mereka yang ingin bercuti di situ.

Keluarga angkat pula terdiri daripada masyarakat setempat yang sudi menjadikan pelancong sebagai ahli keluarga mereka ketika tempoh percutian itu.

Memandangkan terdapat pelbagai aktiviti pertanian di kawasan berkenaan, pelancong dapat merasa sendiri pengalaman menjadi petani dengan melakukan aktiviti seperti menuai dan menanam padi.


AKTIVITI menangkap ikan di bendang yang menyeronokkan.

Sekiranya ada yang inginkan pengalaman menangkap ikan yang hidup liar di kawasan bendang, perkara itu juga dapat dilakukan bersama keluarga angkat dan rakan lain.

Sememangnya aktiviti seperti ini juga sebahagian daripada pelancongan agro yang terdapat di kawasan itu kerana pelancong bukan saja dapat merasai pengalaman tinggal di kawasan kampung.

Pelancong berkumpulan juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti kebudayaan yang terdapat di kawasan berkenaan seperti menonton wayang kulit Jawa dan mencuba tarian kuda kepang.

Uniknya di kampung itu, kebanyakan penduduknya bersatu untuk menyediakan produk pelancongan berbentuk kesenian, kebudayaan dan gaya hidup masyarakat tempatan kepada pelancong.

Lebih menarik penduduk di situ juga mesra dengan pelancong dan tidak lokek menjawab pelbagai soalan yang diajukan serta rancak menceritakan pelbagai tarikan lain terdapat di kawasan kampung mereka.

Berbalik kepada aktiviti kebudayaan, penulis begitu tertarik dengan tarian kuda kepang yang dipersembahkan kepada pelancong kerana ia mempunyai daya tarikan tersendiri.


WAYANG kulit Jawa antara persembahan yang diketengahkan.

Selain itu, pelancong juga dapat merasai pengalaman untuk memakai pakaian tarian kuda kepang dan menari bersama penari yang membuat persembahan sama ada pada sebelah petang atau malam.

Sememangnya berada di kawasan Kampung Sungai Hj Dorani memberi pelbagai pengalaman percutian yang mendamaikan dan menjanjikan aktiviti kampung menarik.

Disebabkan itu, tidak mustahil mengapa kawasan itu sering kali menjadi antara lokasi yang wajib dilawati pelancong jika ke Selangor.

Apatah lagi pelancong asing yang ingin merasai sendiri pengalaman bergelar masyarakat kampung di Malaysia.


MERAKAM gambar menarik dengan memakai pakaian penari kuda kepang di bendang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 11:45 AM