BERKONGSI pengalaman mengenai penghijrahannya dalam ceramah.
Mohd Syahril Rosdi

Ahmad Zahudi

Sebelum memeluk Islam, lelaki ini pernah menganggap agama Islam hanya milik masyarakat Melayu. Namun, dengan hidayah Allah akhirnya beliau memeluk Islam 30 tahun lalu.

Kecintaannya terhadap agama Islam cukup mendalam hingga mendorongnya melanjutkan pelajaran di Pondok Dusun Pelaga Pujud, Pattani selama tiga tahun. Kemudian ke Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selama empat tahun bagi mendalami Islam.

Amran Anbarasu Abdullah kemudian ditawarkan jawatan sebagai Penolong Pegawai Dakwah di Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) selepas menjadi peserta terbaik Kursus Intensif Peningkatan Islam PERKIM pada 1995.

Pelbagai usaha dilakukan untuk pembangunan mualaf dan masyarakat Islam hinggakan beliau diberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Tokoh Saudara Muslim 2018 peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berserta wang tunai RM5,000.

Mesra disapa Ustaz Amran, beliau yang sudah 20 tahun terbabit dalam bidang dakwah berjaya melahirkan ramai saudara baru.


AMRAN (kanan) menerima anugerah disampaikan Dr Asyraf Wajdi.

Katanya, beliau sudah mengislamkan hampir 5,000 mualaf sejak 1997 termasuk selebriti, Adam Corrie Lee Abdullah dan Pengerusi Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung.

“Tugas saya di Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM adalah menyampaikan dakwah dan ilmu agama Islam kepada saudara baru.

“Selain itu, saya juga menjadi tempat rujukan utama mualaf yang memerlukan bantuan, kaunseling, kebajikan dan pendidikan,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak menyangka diberikan anugerah sedemikian kerana ada yang lebih hebat dan layak untuk menerimanya.

“Anugerah ini menjadi pembakar semangat saya untuk lebih aktif dalam menyebarkan syiar Islam bagi menarik lebih ramai memeluk agama ini dan melahirkan pendakwah saudara baru,” katanya.

Untuk rekod, Amran pernah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan pada 2014 dan Tokoh Pendakwah Maal Hijrah 1439H peringkat Pulau Pinang.

Beliau kini menyandang jawatan Pengerusi Pertubuhan Mualaf Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 7:48 PM