KEPELBAGAIAN hidupan marin menjadi tarikan untuk meneroka khazanah dasar laut.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Pengalaman menempuh kesukaran yang mendebarkan ketika menyelam skuba menyebabkan pencinta marin ini berasa dia seolah-olah melakonkan watak dalam filem Hollywood, Sanctum.

Sazali Omar, 35, menyertai aktiviti itu secara suka-suka pada 2012 tetapi kini dia sudah memiliki lesen sebagai ‘divemaster’ dengan mencatatkan jumlah kira-kira 250 kali selaman skuba.

Menceritakan detik tersangkut di pintu masuk bangkai kapal selam di Pulau Coron, Palawan, Filipina pada 2015, anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Hanya satu perkara yang menguasai fikirannya ketika itu - dia perlu melepaskan badannya yang tersangkut secepat mungkin.

Katanya, situasi itu berlaku ketika dia berada pada kedalaman sekitar 20 meter dari permukaan air. Selepas kira-kira lima minit melalui detik sukar itu, dia akhirnya berjaya meloloskan diri.

“Meskipun ia sesuatu yang boleh dianggap mencemaskan, perkara paling utama ketika menyelam skuba ialah tidak mudah panik. Cuba sedaya upaya berfikir untuk menyelesaikan sebarang masalah dengan tenang.

“Jika panik, kita sendiri gagal untuk mengawal pergerakan dan pernafasan di dalam air. Bagaimanapun, bagi saya perkara itu bukan menjadi penghalang untuk terus aktif dalam aktiviti ini,” katanya.


SAZALI Omar.

Sejak mempunyai lesen ‘open water’ hingga kini, Sazali sudah meneroka beberapa lokasi selam skuba di Malaysia dan luar negara.

Antara lokasi di Malaysia yang sering dikunjunginya ialah Pulau Sipadan (Sabah), Mabul (Sabah), Taman Laut Tunku Abdul Rahman (Sabah), Perhentian Besar dan Kecil (Terengganu), Pulau Tioman (Pahang) dan Tenggol (Terengganu).

Sementara destinasi luar negara pula membabitkan Filipina, Thailand dan Indonesia.

Sazali berkata, aktiviti selam skuba memberi peluang kepadanya untuk melihat keindahan pelbagai hidupan marin di dalam habitat masing-masing. Pada masa sama, ia juga menjadi salah satu terapi menenangkan fikiran selepas penat bekerja.

Katanya, jika berpeluang dia ingin menaik taraf lesen hingga peringkat tertinggi kerana setiap lesen dapat memberi pengetahuan atau kemahiran baru dalam aktiviti selam skuba rekreasi.

“Setiap kali saya menyelam, perkara yang paling utama adalah untuk memantapkan kemahiran menyelam yang begitu besar cabang ilmunya.

“Ia termasuk cara mengendalikan peralatan, menentukan arah ketika menyelam, memantau pelajar baru ketika membantu jurulatih dan memastikan aktiviti yang dilakukan selamat.

“Dalam apa juga keadaan, saya ingin terus menikmati keindahan hidupan marin yang kadang-kala agak jarang ditemui dan memberi kepuasan tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 1:11 PM