KEJERNIHAN air laut di Pulau Redang mampu merakam jelas aksi perenang.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Berenang jarak jauh antara sukan baru yang semakin menarik perhatian memandangkan ketika ini sudah ada kejohanan yang berlangsung di Malaysia.

Acara berenang merentasi Selat Melaka, Melaka Straits Swim 2018 yang berlangsung pada Julai ini bakal menyaksikan perlumbaan renang sejauh 40 hingga 50 kilometer. Ia antara bukti sukan renang jarak jauh mempunyai pengikutnya tersendiri.

Memandangkan acara itu dilihat sebagai kejohanan yang mencabar, penganjur Melaka Straits Swim 2018 pada awal April lalu menganjurkan siri latihan berenang di Pulau Redang, Terengganu yang disertai 25 perenang bersama 25 kru.

Siri latihan itu yang dikenali sebagai Redang 777 25km Round Island Swim itu, peserta perlu berenang sejauh 25 kilometer bermula dari jam 7 pagi dan berakhir pada 7 malam.

Latihan jarak jauh dan mengambil masa yang lama itu sesuai dengan keadaan sebenar ketika kejohanan berkenaan berlangsung memandangkan peserta perlu berenang dalam tempoh antara 18 jam dan lebih 24 jam untuk sampai ke lokasi penamat.


AKSI peserta membuat terjunan ketika sesi latihan.

Ketua Rekrut dan Latihannya, Prof Dr Ghazali Musa berkata, siri latihan itu bukan hanya sebagai persiapan kepada peserta untuk berdepan dengan cabaran ketika kejohanan tapi ingin mendokumentasikan perjalanan secara keseluruhan acara berkenaan sebelum berlangsung.

Katanya, Pulau Redang bukan saja mempunyai panorama yang menarik malah kejernihan air, kecantikan hidupan marin dan pasir yang putih sememangnya menarik perhatian peserta sepanjang sesi latihan itu berlangsung.

“Peserta dalam sesi latihan ini menikmati pengalaman yang menarik ketika berenang di kawasan perairan terbuka seperti di Pulau Redang kerana mereka juga dapat menikmati keindahan di sini.

“Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu solo dan berganti-ganti apabila mereka perlu berenang mengelilingi pulau secara lawan arah jam membabitkan beberapa lokasi untuk berhenti berehat seperti di Teluk Dalam,” katanya.

Siri latihan acara itu diadakan dari Pulau Kapas ke Marang yang berlangsung pada 22 April lalu.


KUMPULAN peserta yang terbabit dalam sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 1:01 PM