SUKARELAWAN menyusun buku.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Dalam memupuk budaya membaca, Buku Jalanan @ Shah Alam menarik lebih 300 pengunjung menyertai acara berkenaan yang diadakan di Taman Tasik, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Kuala Lumpur melalui Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) mendapat kerjasama MIIT Handball Club (MHC) dan Buku Jalanan Shah Alam (BJSA).

Penasihat Projek Buku Jalanan @ Shah Alam Mohamad Hafiz Baharum berkata, objektif program itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kepentingan membaca.


KANAK-KANAK gembira bersama sukarelawan.

Katanya, berdasarkan rekod Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kadar literasi penduduk Malaysia masih berada pada tahap 55 peratus dengan purata setiap rakyat hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun.

“Buku Jalanan @ Shah Alam turut menyajikan beberapa aktiviti tambahan bagi kanak-kanak dan remaja termasuk seni pasir serta permainan buih.

“Beberapa pelajar dan alumni UniKL MIIT dijemput untuk sesi percambahan minda bagi berkongsi pengalaman mereka berkenaan jurusan yang diambil dan penyertaan mereka dalam bidang kokurikulum di UniKL MIIT,” katanya.


PERMAINAN yang diadakan.

Katanya, program itu juga menyediakan panduan dan bimbingan kepada pengunjung terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkenaan minat atau kecenderungan mereka memilih bidang jurusan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Aktiviti yang digarap itu dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan kepentingan membaca.

Buku Jalanan @ Shah Alam adalah salah satu projek tanggungjawab sosial universiti (USR) membabitkan 25 sukarelawan dari Universiti Kuala Lumpur MIIT.

Program itu juga berjaya mengumpul RM2,000 hasil sumbangan orang ramai.


HASIL mewarna oleh kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:02 PM