TENGKU Adnan (empat dari kiri) menyaksikan majlis MoU.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Seramai 225 pelajar cemerlang Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) diraikan dengan pemberian wang tunai yang dikreditkan dalam bentuk sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pelajar itu yang mendapat keputusan cemerlang dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis penyampaian itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Majlis Anugerah Cemerlang di YPC Kolej, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut Hadir, Pengerusi YPC Datuk Seri Syed Ali Al Habshee merangkap Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan.

Adnan berkata, wang tunai dikreditkan ke akaun SSPN bagi menggalakkan pelajar menabung wang demi masa depan mereka.

“Pelajar cemerlang SPM menerima RM200 hingga RM300, pelajar PT3 pula menerima RM150 hingga RM200 dan pelajar UPSR menerima RM50 hingga RM75.

“Insentif ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pelajar supaya sentiasa mempunyai sikap daya saing dalam usaha mempertingkatkan pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum,” katanya.

Selain wang tunai, pelajar cemerlang itu turut menerima sijil penghargaan dan hadiah iringan.

SYED Ali Al Habshee dan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosni Abdul Jalil menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang.

Dalam majlis itu, YPC turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS.

Adnan berkata, YWP bakal menyalurkan Biasiswa Sara Diri bagi membiayai pengajian pelajar yang cemerlang sehingga tamat pengajian.

“Biasiswa Sara Diri ini ditawarkan untuk anak-anak Wilayah Persekutuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih dan menepati syarat ditetapkan.

“Jumlah biasiswa yang dicadangkan sebanyak RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian dan pembayaran biasiswa sara diri akan dibayar setiap semester,” katanya.

Katanya, tujuan program itu bagi meringankan beban perbelanjaan pelajar, seterusnya memberi fokus kepada kecemerlangan akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 1:58 PM