PESERTA tekun mengisi borang kelayakan menyambung pengajian dalam bidang diminati.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Seminar Kenali IPT (SKI) anjuran Kelab Rakan Pustaka (KRP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memilih bidang pengajian bersesuaian untuk ke institusi pengajian tinggi (IPT).

SKI yang turut mendapat kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Neo Synergy Training Centre (NSTC) itu mengumpulkan 60 peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan STPM tahun lalu.

Pengunjung, Irnah Narui, 18, berkata, dia ke SKI untuk mendapatkan maklumat terperinci berkenaan program pengajian bersesuaian.

“Saya mencari program seperti SKI ini untuk mengetahui tip kejayaan dalam akademik dan kemahiran insaniah selepas tamat persekolahan,” katanya.

SKI adalah pihak KRP dalam mempersiapkan pelajar dengan kemahiran berfikir dan berkomunikasi selain pendedahan kepada kemahiran keusahawanan sesuai dengan hasrat kerajaan mencapai Transformasi Nasional TN50.

Menariknya kali ini, SKI menjemput penceramah jemputan iaitu Alani Bazla Ahmad Jihaduddin yang terpilih untuk menyertai Youth E-Commerce Program Alibaba Business School.

Alani berkongsi kejayaan memenangi Anugerah Pembentang Terbaik dan membuka minda peserta untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa hadapan.

Turut dijemput Asfarina Ismail iaitu penerima Anugerah Pelajaran di Raja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Malaysia Kelantan.

Pada program itu peserta berpeluang mengetahui potensi dan minat yang sesuai dengan personaliti masing-masing dalam slot ujian personaliti serta kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 1:54 PM