DR Siti Zainon bersama lukisannya bertajuk Luka Mahameri.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kenangan silam ketika remaja menetap di Gombak, Selangor yang turut didiami masyarakat Orang Asli memberi ilham kepada pelukis ini menghasilkan karya berkisarkan etnik berkenaan.

Karya bertajuk Luka Mahameri adalah terjemahan ‘keinsafan’ pelukis terhadap Orang Asli apabila mengenangkan kembali kebaikan etnik terbabit yang sering ‘dimanipulasi’ masyarakat sekeliling.

Lukisan itu satu daripada 98 hasil seni daripada 43 pelukis yang menjadi koleksi Petronas dipamerkan dalam Pameran Visual Dialek: Ikatan Persaudaraan Budaya di Galeri Petronas bermula 18 April hingga 15 Julai ini.


DR Siti Zainon (kanan) memberi penerangan kepada Ratna Siti.

Pelukis, Prof Dr Siti Zainon Ismail berkata, dulu keluarganya sering mendapatkan bekalan kayu api dan buluh lemang daripada Orang Asli.

“Mereka (Orang Asli) menjual secara longgok dengan harga yang murah. Jika dinilai bayaran diterima tidak setimpal dengan kepenatan dan kepayahan mereka mencari bahan itu.

“Kebaikan dan kemesraan mereka ini mengundang rasa ‘belas’ iaitu simpati,” katanya.

Katanya, apabila meningkat dewasa beliau berasa bersalah terhadap etnik itu lalu mendorongnya menghasilkan karya berkenaan sebagai menghargai jasa mereka.

Menurutnya, lukisan yang menggunakan medium akrilik atas kanvas itu dihasilkan pada 1990 dan berdasarkan pemerhatiannya ketika itu Orang Asli masih tersisih.


KARYA yang menggunakan medium akrilik atas kanvas dihasi

Sementara itu, Pengurus Koleksi Seni Galeri Petronas Ratna Siti Akbari berkata, pameran berkenaan dianggap eksklusif kerana julung kalinya Petronas mempamerkan koleksi seni yang dikumpul sejak penubuhannya 25 tahun lalu kepada umum.

Katanya, sepanjang pameran berlangsung program Seni Untuk Semua yang mengetengahkan seni visual dan teater, seni visual dan kesusasteraan, seni visual dan drama serta seni visual dan persembahan turut diadakan kepada pengunjung.

“Ini antara usaha kami untuk mendekatkan khalayak dengan seni visual.

“Misi Petronas pada setiap pameran yang dianjurkan sebenarnya untuk menyokong aspirasi syarikat itu dalam memperkasakan modal insan yang peka terhadap seni,” katanya.

Selain itu, katanya, pameran berkenaan juga satu lagi mercu tanda Galeri Petronas dalam melestarikan usaha membentuk masyarakat berbudaya tinggi.


PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan.

PAMERAN VISUAL DIALEK: IKATAN PERSAUDARAAN BUDAYA

• ARTIS: 43

• KARYA: 98

• TARIKH: 18 April hingga 15 Julai 2018

• MASA: 10 pagi hingga 8 malam (Isnin tutup)

• ALAMAT: Galeri Petronas Tingkat 3, Suria KLCC

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:19 AM