Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Secara hakikinya, mereka ini mempunyai kerjaya profesional dalam bidang pembinaan.

Hobi memancing pula menjadi pilihan bagi mengisi waktu lapang dan melupakan seketika bebanan tugas.

Sejak 2005 hingga kini, Azrin Abdullah, Illham Ismail, Khairrul Azly, Zulfadli Tajul, Muhamad Shafei Hassan, Wan Abu Muslim, Muhammad Nazmi Abdul Kadir, Muhammad Iman Danish Radzi, Dino Farouke Majid, Mohd Fairuz Uzir dan Mohd Khairil Abdul Wahab aktif memancing di kawasan hulu sungai.

Tidak kira sama ada ia lokasi popular dalam kalangan kaki pancing atau jarang diterokai peminat aktiviti itu, setiap tahun pasti terdapat sekurang-kurangnya dua aktiviti memancing di kawasan hulu sungai. Ia antara aktiviti wajib dalam kalendar tahunan masing-masing.

Illham berkata, antara lokasi memancing di kawasan hulu yang pernah diterokai mereka ialah Hutan Simpan Royal Belum (Perak), Tasik Kenyir (Terengganu), Taman Negara Endau Rompin (Sempadan Pahang-Johor) dan Taman Negara Kuala Tahan (Pahang).

Beliau berkata, memancing di kawasan hulu sungai menawarkan pengalaman dan cabaran dalam perjalanan mereka untuk aktiviti memancing.

“Setiap hari kami mempunyai tugas masing-masing yang sibuk dalam pekerjaan dan memancing di kawasan pedalaman atau hulu mampu melepaskan sekejap rasa penat serta memberi ketenangan tersendiri.

“Selain memancing, kami juga dapat melihat sendiri perkampungan Orang Asli yang di kawasan pedalaman dan aktiviti kehidupan mereka seperti memancing secara tradisional,” katanya.


MEMANCING mengeratkan hubungan persahabatan selepas penat bekerja.

Katanya, antara pengalaman paling menarik ialah memancing di Sungai Blok 31, Jeli di Kelantan kerana mereka perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda selama lapan jam untuk ke kawasan berkenaan.

“Ketika kami ke sana, keadaan hujan dan ia sememangnya mencabar kerana jalan licin, berlumpur serta perlu membina titi sendiri untuk membolehkan kenderaan terus dipandu.

“Cabaran tidak terhenti dengan keadaan jalan itu saja. Selepas sekitar lima jam menaiki kenderaan empat roda, kami perlu meredah hutan dalam tempoh tiga jam dalam hujan lebat. Malam itu, kami tidur dalam keadaan basah kerana peralatan dan pakaian yang dibawa di dalam beg lenjun,” katanya.

Illham berkata, walaupun mereka mempunyai hobi memancing di hulu sungai dalam hutan, setiap rakan yang mengikuti

aktiviti memancing tidak mengambil ringan berkenaan etika ketika aktiviti serta tidak melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Perkara ini penting kerana kami tidak mahu berdepan dengan masalah dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh sesuatu kawasan. Paling utama, sentiasa memastikan kebersihan lokasi yang dilawati.

“Sekiranya kita

menjaga persekitaran hutan dan menghargainya, tidak mustahil rezeki ketika memancing sentiasa ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 10:38 AM