Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Kadar purata kebolehpasaran siswazah Malaysia meningkat 1.8 peratus menjadi 79.1 peratus pada 2017 berberbanding 77.3 peratus pada 2016.

Kadar purata ini berdasarkan hasil laporan Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Malah kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia dalam tempoh empat tahun mulai 2014 hingga 2017 juga turut mencatatkan peningkatan empat peratus.

Lepasan latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) turut menunjukkan peningkatan kebolehpasaran yang memberangsangkan bagi 2016 apabila jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1 peratus disusuli Politeknik (88.6 peratus) dan Kolej Komuniti (97.2 peratus).

TVET yang menekankan pendekatan kemahiran selari keperluan industri adalah kunci ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada 2050.

Pada masa sama TVET berperanan menjadi ejen perubahan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara.

Selain itu, TVET juga mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan industri dan negara bagi mengharungi fenomena Revolusi Industri 4.0.

Menyedari kepentingan TVET, kerajaan menjenamakan semula TVET sebagai TVET Malaysia sebagai usaha memperkasakan rakyat selain memantapkan kolaborasi semua pihak berkepentingan dalam bidang itu supaya TVET menjadi pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan serta berpotensi tinggi.


TVET yang menekankan pendekatan kemahiran selari keperluan industri.

Penjenamaan semula TVET juga berupaya mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering beranggapan sistem pendidikan itu pilihan kedua atau hanya diceburi mereka tidak mempunyai kelayakan akademik baik.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, bersandarkan kepada keperluan itu, universiti awam (UA) khususnya universiti anggota jaringan MTUN perlu memperkasakan TVET dengan menawarkan program pengajian ‘high-TVET.’

Katanya ‘high-TVET’ itu perlu bertahap tertiari berbanding TVET konvensional ditawarkan di politeknik, kolej komuniti dan institusi lain yang berkenaan.

“Program itu perlu dibangunkan menepati kehendak industri.

“Hasilnya, graduan yang dilahirkan mempunyai ilmu dan kemahiran yang relevan, seterusnya dapat digunakan untuk menyumbang kepada agenda perindustrian negara,” katanya.

Katanya, selain program pengajian, universiti turut menjulang agenda TVET negara dengan menjalankan projek penyelidikan yang berkisar di sekitar penyelesaian masalah industri.

“Menggunakan kepakaran yang dimiliki universiti, tahap kecekapan dan produktiviti industri dapat ditingkatkan.

“Contohnya di UniMAP, penyelesaian masalah industri yang dimaksudkan lebih menjurus kepada cabaran teknikal dihadapi di lantai bengkel.

“Usaha peningkatan kualiti proses pembuatan di kilang, misalnya berhubung rapat dengan kemahiran yang berkait terus dengan TVET. Ini satu cara bagaimana pemerkasaan agenda TVET negara disokong universiti,” katanya.

Melalui TVET Malaysia, kerajaan akan menambah bilangan tenaga kerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2020 selain meningkatkan kuantiti dan kualiti lulusan TVET dengan sasaran melahirkan 225,000 lepasan TVET pada 2020 supaya agenda penyediaan tenaga mahir di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tercapai.


KEMAHIRAN dimiliki membolehkan graduan memiliki perusahaan sendiri.

Selain itu, kerajaan juga berhasrat melatih 300,000 rakyat terutama golongan B40 hingga 2025 bagi membantu meningkatkan kemahiran rakyat sekali gus membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Usaha itu antara langkah yang dilakukan bagi mencapai sasaran kerajaan bagi melahirkan sebanyak 3.3 juta pekerja dengan 50 peratus daripada mereka ialah tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Kini, terdapat kira-kira 1,300 institusi TVET yang diuruskan kerajaan mahupun pihak swasta, dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran selari kehendak industri.

Dr Zul Azhar Zahid berkata, mengambil contoh program TVET di UniMAP, ‘high-TVET’ yang dimaksudkan ialah program itu mempunyai komponen praktikal sekurang-kurangnya 40 peratus dalam kurikulum dan pembelajaran serta pengajaran.

Katanya selaras dengan Lonjakan empat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM(PT), UA harus memegang kepada strategi berikut untuk memastikan ‘high-TVET’ diperkasakan sewajarnya dengan memastikan kurikulum program TVET yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan industri.

“Ini dapat menyumbang kepada pencapaian agenda perindustrian negara, sekali gus meningkatkan prospek kebolehpasaran graduan yang dihasilkan.

“UA juga perlu membangunkan model ‘pendanaan’ lebih mampan melalui peningkatan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menyokong penambahan program TVET yang dirancang,” katanya.

Jelasnya, kerumitan laluan TVET juga perlu dikurangkan untuk memudahkan pelajar dan industri atau majikan membuat pilihan selain meningkatkan daya tarikan kerjaya TVET.


GRADUAN kemahiran memenuhi kehendak industri.

INFO

Usaha dilaksanakan oleh KPT bagi memastikan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia.

• Program Intervensi dan Program Pusat Kecemerlangan Industri (Industry Centre of Excellent - ICoE)

• Program Keusahawanan dengan kerjasama Permodalan Usahawan Nasional Berhad, TERAJU dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia

• Program CEO@Fakulti yang membabitkan tokoh korporat untuk perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam bidang industri kepada penuntut di UA

• Program 2u2i yang juga program belajar sambil bekerja

• Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 2:23 PM