KEGEMBIRAAN terpancar pada wajah peserta selepas aktiviti perkhemahan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Pada cuti sekolah yang lalu, mesti ramai pelajar yang mengisi waktu santai mereka dengan pelbagai aktiviti. Tidak kurang juga ada yang mengikuti kegiatan perkhemahan dianjurkan sekolah.

Aktiviti perkhemahan seperti itu mempunyai banyak pengisian positif terutama dalam memberi motivasi hidup yang lebih baik kepada pesertanya.

Baru-baru ini, Kelab Jelajah Alphine Malaysia (KJA) dengan kerjasama Puncak Ventures Sdn Bhd (PV) mengadakan perkhemahan untuk Sekolah Sri Tenby (SST) Setia Eco Park, Selangor di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat bagi memupuk minat pelajar sekolah dengan aktiviti pendakian.

Seperti yang diketahui, KJA adalah badan bukan kerajaan yang aktif, profesional dan terbabit secara langsung dengan aktiviti pendakian di serata dunia.


WAKTU malam juga diadakan aktiviti pengisian kepada peserta.

Presiden KJA, Muhammad Illaham Ishak berkata, aktiviti perkhemahan tiga hari dua malam itu disertai 63 pelajar sekolah.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi perkongsian pengalaman pendaki profesional tempatan yang mendaki di pelbagai gunung terkenal dunia dan berjaya mengharumkan nama Malaysia.

“Selain itu, mereka juga melakukan aktiviti yang lasak seperti flying flox dan berkayak. Kami juga mengadakan aktiviti yang boleh menjadikan mereka lebih berdikari seperti perlu memasak makanan sendiri dan menguruskan diri tanpa bantuan orang lain.

“Aktiviti yang kami adakan ini menyeronokkan dan pada masa sama memberi pelbagai maklumat atau manfaat kepada pelajar sekolah terutama menjadikan mereka lebih bermotivasi,” katanya.


AKTIVITI memasang khemah oleh peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 10:43 AM