LOKASI permulaan berakit di Sungai Itek.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Sebaik sahaja tiba di lokasi yang dikelilingi pokok getah, penulis dan rakan media tertanya-tanya sesama sendiri, adakah aplikasi penunjuk arah ini memberikan kami jalan yang betul?

Mana tidaknya, sebaik sahaja melalui kebun getah, di hadapan kami terbentang laluan sempit yang diapit tembok batu dan di bawahnya ada gua kecil. Terasa seakan-akan berada di bumi asing.

Keseronokan melihat keindahan alam semula jadi yang menyegarkan mula berbaur rasa sangsi. Dalam kesangsian itu, mata masih tetap sempat menikmati kanvas pemandangan pagi disimbah cahaya matahari yang mula menyusup masuk di celah daun.

Perlahan-lahan kereta penulis melalui jalan kecil itu dan sekitar 10 minit kemudian kelihatan jelas, pintu gerbang tertera nama Kampung Jahang di Gopeng, Perak iaitu lokasi yang ingin kami tuju.

Sebaik sahaja tiba di Kampung Jahang, penulis menghubungi operator aktiviti rakit redah jeram atau kayak arus deras yang menguruskan aktiviti kami hari itu, NY Adventure & Consultant Mohammad Shazwan Mohd Yatim dan Sham Gopeng.

Kehadiran kami disambut baik kedua-dua operator berpengalaman luas dalam aktiviti itu di Dataran Jahang dan dimaklumkan juga selain rakit redah jeram mereka juga menawarkan aktiviti lain di kawasan berkenaan seperti meneroka Gua Tempurung serta mendaki ke Bukit Batu Putih.


MOHAMMAD Shazwan.

Bagaimanapun, hajat kami ke sini adalah untuk menikmati sendiri aktiviti rakit arus deras yang sememangnya terkenal di sini dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar negara.

Dari Dataran Jahang kami dibawa menaiki lori ke lokasi permulaan aktiviti rakit redah jeram di Sungai Itek yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan melewati laluan kampung yang bersih dan nyaman.

Taklimat ringkas dan padat diberikan ketua penunjuk arah kami pada hari itu. Lebih menarik kru yang bertugas juga faham dengan keinginan rakan media untuk mengambil gambar di lokasi terbaik sepanjang laluan berakit dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kamera yang dibawa jurugambar.

Tidak cukup dengan itu, sepanjang menempuh laluan sungai berarus deras itu, kru keselamatan yang sentiasa berada di hadapan bot bukan sahaja bertugas sebagai penjaga dan penunjuk arah tetapi membantu mengambil gambar kami sepanjang aktiviti itu.

Penulis difahamkan, perkhidmatan itu ditawarkan kepada pelanggan yang ingin gambar mereka diambil ketika berakit.


PESERTA diberi taklimat ringkas sebelum memulakan ekspedisi.

Perjalanan sepanjang lapan kilometer (km) berakit arus deras di Sungai Itek sememangnya mencabar walaupun dimaklumkan pada hari berkenaan, tahap kesukaran berada di skala tiga.

Bot getah yang dinaiki kami berkali-kali tersangkut di laluan berbatu dan pelbagai aksi yang menjadi teknik untuk menggerakkan bot perlu dilakukan seiring arahan penunjuk arah yang ada di bot kami.

Sempat juga kami menjeling peserta kumpulan lain yang terjatuh ke dalam sungai kerana bot getah mereka terbalik dan sudah semestinya pengalaman mencabar seperti itu menjadi detik ‘paling dinanti-nantikan’ dengan penuh debaran oleh setiap pemain.

Paling tidak dilupakan, satu kilometer terakhir, kami dihidangkan dengan banyak laluan berbatu sehingga sukar untuk bot getah melaluinya. Pelbagai skil perlu dilakukan bagi memastikan bot sampai ke lokasi penamat.

Selepas lima hingga enam jam berakit akhirnya kami tiba di Dataran Jahang dan berasa begitu puas walaupun keletihan bermain arus. Ternyata bayaran RM155 cukup berbaloi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:43 PM