SITI Hajar sentiasa berada di kedudukan terbaik dalam kejohanan kayak arus deras tempatan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Anak kelahiran Sik, Kedah ini tidak pernah menyangka detik awal menyertai kayak arus deras atau rakit redah jeram sekadar rekreasi bersama rakan sekelas 11 tahun lalu, kini mampu meraih pelbagai kejayaan dalam kejohanan aktiviti itu di Malaysia.

Pemilik nama, Siti Hajar Mohamad Taher, 30, boleh dianggap antara wanita pertama di negara ini yang menjadi perintis. Terutama dalam mewujudkan kumpulan kayak arus deras wanita dan giat memburu lebih banyak pengalaman.

Siti Hajar yang lebih mesra disapa Jaja berkata, bagi tujuan itu dia bercadang untuk menimba pengalaman di Indonesia dengan melakukan latihan intensif bersama penggiat wanita lain dalam aktiviti itu pada bulan ini.

Katanya, selain itu, dia juga merancang untuk menyertai salah satu kejohanan kayak arus deras yang dianjurkan Persekutuan Rakit Redah Jeram Antarabangsa (IRF) di China bagi menimba pengalaman ahli kumpulannya.


BERLATIH membantu memantapkan kemahiran dayungan Siti Hajar.

“Aktiviti ini jarang disertai golongan wanita di Malaysia berbanding di luar negara dan saya melihat ia satu peluang yang baik untuk mengembangkan bakat dalam bidang ini.

“Selain itu, menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa juga boleh membantu saya dan rakan-rakan meningkatkan kemahiran.

“Selain meletakkan nama Malaysia sebagai negara di Asia yang mempunyai bakat dalam kayak arus deras,” katanya.

Penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pelancongan itu menambah, setakat ini belum ada lagi peserta dari Malaysia yang menyertai kejohanan kayak arus deras di peringkat antarabangsa.

“Biasanya bagi kejohanan di peringkat antarabangsa untuk kategori Asia, hanya Jepun dan Indonesia saja yang mewakilinya.

“Jadi, sekiranya Malaysia menyertainya pada tahun depan di China, sekali gus menambah senarai satu lagi negara dalam rantau Asia menyertai kejohanan dunia,” katanya.


AKSI Siti Hajar bersama ahli kumpulan ketika dalam kejohanan kayak arus deras.

Siti Hajar berkata, meskipun dalam kejohanan yang disertainya didominasi golongan lelaki namun ia bukan suatu cabaran besar kerana aktiviti ini memerlukan kemahiran untuk mengemudi kayak.

Kini, dalam kesibukan menguruskan perniagaan, dia tidak mengabaikan latihan untuk memantapkan kemahiran mendayung dan mengendalikan kayak.

“Aktiviti ini juga memerlukan kecergasan fizikal yang baik, jadi selain dari berlatih kemahiran berkayak, saya juga perlu menjalani latihan kecergasan lain di gimnasium.

“Kepada golongan wanita yang berminat dalam aktiviti ini, saya sememangnya mengalu-alukan mereka untuk menyertainya dan sedang mencari ahli baru untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:38 PM