WAKIL NGO cacat penglihatan menerima Buku Panduan Pengantin Baru (SMARTSTART) edisi Braille.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melancarkan Buku Panduan Pengantin Baru (SMART­START) edisi braille sebagai bahan bacaan tambahan berkenaan kekeluargaan kepada golongan cacat penglihatan.

Buku itu diterbitkan khas untuk membantu golongan terbabit bagi memanfaatkan bahan bacaan berkaitan ilmu perkahwinan dan pengukuhan kekeluargaan. Selain mendapatkan maklumat berkenaan menerusi media elektronik dan sosial.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Suriani Ahmad berkata, penerbitan edisi braille itu adalah bukti kukuh bahawa ilmu dalam bahan bacaan tidak terhad kepada orang normal saja.

“Saya melihat ia antara agenda penting kementerian dan agensinya untuk membantu ibu bapa dan pasangan muda membentuk institusi perkahwinan yang cemerlang serta seimbang tanpa membezakan antara golongan.

“Mereka (OKU) sewajarnya mendapat hak yang sama rata dalam pelbagai perkara lebih-lebih lagi berkaitan mendirikan rumah tangga,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Persediaan Diri Ke Arah Keluarga Cemerlang anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama LPPKN.

Beliau berkata, hingga Mac ini lebih kurang 11,000 daripada 41,000 OKU cacat penglihatan berada di peringkat umur yang bakal mendirikan rumah tangga atau masih di awal perkahwinan.

“Menerusi terhasilnya buku SMARTSTART edisi braille ini membantu golongan terbabit melayari alam perkahwinan ke arah membentuk keluarga sakinah,” katanya.

Sementara itu dalam majlis sama, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menerima satu set buku berkenaan sebagai bahan rujukan ahli masing-masing.

NGO terbabit adalah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) termasuk cawangan Kuala Lumpur/Selangor, Perak dan Johor serta Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) .

Seminar dua hari juga berjaya mengumpulkan lebih 200 peserta OKU cacat penglihatan dan majlis penutup turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Datuk S Kulasegaran dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Hairil Fadzly Md Akir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:46 AM