Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Malaysia berada dalam kelompok negara yang bernaung di bawah garisan Khatulistiwa, dianugerahkan iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Jarang sangat kita berpeluang menikmati suasana sejuk kecuali pada musim hujan.

Jika mahu menikmati persekitaran yang dingin, kita akan ke kawasan tanah tinggi popular seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands. Sesekali peluang diselubungi cuaca sejuk terbuka apabila berlaku fenomena tiupan angin sejuk dari dari negara jiran yang memberi tempias di beberapa lokasi di negara kita seperti awal tahun ini.

Meskipun Malaysia adalah negara tropika yang mewah dengan limpahan bahang sinaran matahari sepanjang tahun, aktiviti meluncur ais kian rancak dan semakin mendapat perhatian ramai.

Pentas luncur ais yang terdapat di negara kita adalah buatan manusia dan hanya boleh didapati di dalam pusat beli-belah. Pada masa sama, kemampuan Malaysia mewujudkan arena luncur ais juga sudah diiktiraf sehingga mampu menjadi lokasi bagi kejohanan Sukan SEA baru-baru ini.

Malah, aktiviti luncur ais di Malaysia mempunyai pengikutnya tersendiri sehinggakan kita mampu melahirkan ramai atlet yang bertanding di gelanggang dunia dan mengharumkan nama negara.

Sebelum menjadi seorang atlet sudah pasti kebanyakan individu yang menyertainya memulakannya sebagai aktiviti rekreasi kerana bukan mudah untuk melakukan aksi seperti luncur berirama, hoki dan acara luncur laju laluan pendek (short track speed skating).


AKTIVITI luncur ais semakin mendapat perhatian orang ramai.

Jika dilihat secara kasarnya, aktiviti meluncur ais seakan-akan sama dengan permainan kasut roda. Bagaimanapun, ia berbeza dari segi teknikal dan platform yang digunakan.

Aktiviti meluncur ais memerlukan kasut luncur yang mempunyai tapak bilah tajam setinggi tiga sentimeter untuk membolehkan seseorang bergerak laju di atas permukaan ais. Disebabkan itu, keseimbangan badan amat perlu bagi membolehkan pemain bergerak dan meluncur dengan selamat.

Bagi mereka yang baru kali pertama menyertai aktiviti ini, jangan risau kerana kebanyakan pusat luncur ais menyediakan khidmat jurulatih berpengalaman yang sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar khususnya membabitkan perkara asas.

Antara perkara asas yang biasanya diajar oleh jurulatih ialah teknik mengimbangi badan sebaik sahaja menyarung kasut luncur, melakukan pergerakan maju ke hadapan, keseimbangan menggunakan satu kaki sambil bergerak (luncur sebelah kaki) dan teknik menghentikan pergerakan.

Pergerakan asas ini penting bagi membolehkan pemain meluncur dengan selamat serta menjadi pemula untuk melakukan aksi lain atau terbabit dalam permainan yang lebih agresif di gelanggang.

Dari segi pakaian, aktiviti meluncur ais tidak memerlukan pakaian tebal kerana pemain akan banyak bergerak yang sekali gus memanaskan badan. Pakaian sukan yang mampu menyerap haba dan memudahkan pergerakan paling disarankan.


KASUT luncur menjadi keperluan penting untuk meluncur.

Mengenai suhu kawasan luncur ais yang terdapat di dalam pusat beli-belah di Asia Tenggara termasuk Malaysia biasanya berada dalam lingkungan 16 hingga 19 darjah Celsius. Berbanding di negara yang mempunyai musim sejuk, suhu bagi gelanggang ais biasanya sekitar 10 darjah Celsius.

Ketebalan ais di lantai luncur pula lazimnya dalam lingkungan empat hingga lima sentimeter bagi gelanggang di dalam pusat beli-belah kerana sekiranya ais terlalu tebal ia mengakibatkan peningkatan kos operasi.

Bagaimanapun, bagi kejohanan luncur ais dalam acara tertentu memerlukan takat beku ais yang berbeza dengan aktiviti meluncur rekreasi. Hoki ais contohnya memerlukan lantai ais yang lebih tebal dan keras, manakala bagi aktiviti luncur berirama memerlukan lantai separa licin.

Di Malaysia terdapat lebih lima gelanggang ais dibangunkan di dalam pusat beli-belah antaranya di Lembah Klang dan Johor Bahru. Malah, saiz gelanggang luncur ais tempatan juga berbeza mengikut fungsinya.

Ada beberapa lokasi luncur ais hanya dibuka untuk aktiviti rekreasi dan sebahagian lagi turut dijadikan tempat latihan atlet sukan luncur ais tempatan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, pengusaha mengenakan caj serendah RM20 untuk sekali masuk bersama sepasang kasut luncur dan caj ini lebih tinggi pada hujung minggu, cuti sekolah atau cuti umum. Harga yang ditawarkan tidak termasuk stoking dan sarung tangan.

Jika mempunyai skil meluncur yang baik, bakat anda boleh dikembangkan dengan menyertai aktiviti sukan lain seperti bermain hoki dan meluncur berirama di mana latihannya disediakan oleh akademi luncur ais.


AKTIVITI luncur ais secara rekreasi mampu melahirkan bakat atlet.

Bagi ibu bapa yang ingin membawa anak kecil melakukan aktiviti ini pun boleh. Difahamkan kanak-kanak yang berusia dua hingga tiga tahun boleh menyertainya bergantung kepada saiz kasut yang disediakan oleh operator.

Sebenarnya, aktiviti luncur ais ini juga menjadi salah satu aset kepada sektor pelancong tempatan kerana kemampuan kita menyediakan gelanggang yang mempunyai spesifikasi bertaraf antarabangsa dan membolehkan pelancong yang terdiri daripada atlet memilih Malaysia sebagai destinasi latihan.

Malah, terdapat juga pengunjung dari negara jiran khasnya Singapura yang datang ke Malaysia untuk menggunakan gelanggang ais di sini kerana harga yang ditawarkan lebih murah.

Jadi apa tunggu lagi? Jom meluncur ais!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:56 AM