FARA Fauzana memotong kek bersama murid Pusat Belajar Alternatif Jasmine Ash-Sham.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang aktif membela pelarian di negara bergolak Syria.

Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan kepada rakyat negara itu menerusi beberapa misi bantuan kemanusiaan bagi tujuan meringankan pelarian Syria yang ditindas.

Namun, usaha murni itu menjadi lebih menarik apabila disertai bekas penyampai radio Hot FM Fara Fauzana atau lebih dikenali dengan FaFau yang dilantik menjadi Duta Kemanusiaan MLLFS.

Kali pertama Fara Fauzana terbabit bersama misi kemanusiaan MLLFS ialah Misi Bantuan Kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Syria selama 10 hari pada Disember tahun lalu.

Fara Fauzana bakal menyertai tiga lagi misi bantuan MLLFS iaitu Charity Fun for Syria pada 12 Mei, Misi Bantuan Ramadan al-Habeeb (pelarian Syria di Jordan dan Turki) pada 1 hingga 11 Jun dan Misi Penyembelihan Korban.

Menurut Fara Fauzana, dia bersedia memberikan komitmen untuk membantu pelarian Syria yang berhadapan konflik kemanusiaan terburuk abad ini menerusi pertubuhan terbabit.


BERGAMBAR kenangan bersama sukarelawan MLLFS.

“Peluang membantu pelarian Syria memberikan pengalaman berharga kerana sebelum ini saya hanya melihat penderitaan mereka menerusi media.

“Pengalaman tidak dapat dilupakan ialah bertemu dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bernama Syaimaa’ yang kini hilang penglihatan akibat terkena serpihan peluru turut mengorbankan abangnya,” katanya.

Beliau berkongsi sedikit pengalamannya dalam program Minum Petang ‘Up Close and Personal #Fafau4Syria’ yang diadakan di Hotel TH, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Program itu turut diserikan dengan persembahan daripada kanak-kanak pelarian Syria yang belajar di Pusat Belajar Alternatif Jasmine Ash-Sham yang dibuka oleh MLLFS di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau mengajak mereka yang ingin membantu untuk turut bersama menyertai misi berkenaan dengannya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS Syahir Azfar Saleh berkata, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan sokongan kepada misi bantuan dilakukan MLLFS dengan menghulurkan sumbangan.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 564810513971, Bank Rakyat 111151001155, Bank Islam 14210010009882 dan Affin Islamik Bank 105040030883 atas nama MLLFS Berhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 10:48 AM