Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Dalam kalangan pendaki tempatan ramai sudah maklum berkenaan Negeri Sembilan mempunyai pelbagai tarikan termasuk Gunung Besar Hantu, di daerah Jelebu.

Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui ia terletak dalam hutan simpan berkeluasan 84,556.3 hektar selain sesuai untuk aktiviti rekreasi.

Taman Negeri Kenaboi yang dahulunya dikenali sebagai Taman Alam Liar pula sinonim dengan Gunung Besar Hantu pula kini dalam proses dinaik taraf oleh pihak berkuasa tempatan bagi mempromosikan konsep eko pelancongan di lokasi berkenaan.

Kali pertama penulis ke taman negeri berkenaan, ternyata lokasi itu menjanjikan dunia lasaknya yang tersendiri. Malah, kemudahan seperti dewan, tandas dan tapak perkhemahan yang luas membolehkan pengunjung berasa lebih selesa sekiranya ingin menginap di situ.

Antara aktiviti menarik yang mencuri perhatian kumpulan wartawan ketika tinjauan ekopelancongan di taman negeri itu anjuran Tourism Malaysia (Wilayah Tengah) ialah terdapatnya lokasi air terjun yang menjadi sumber aliran air sungai dan jeram yang begitu menarik lagi sesuai untuk aktiviti rekreasi lasak.

Berpeluang pula mengunjungi air terjun tertinggi iaitu Lata Kijang, di taman negeri itu yang setinggi 80 meter menawarkan panorama jatuhan air yang cukup menarik.

Melihat keindahannya, tidak hairanlah jika ia sering menjadi lokasi tumpuan pelbagai syarikat produksi filem untuk mengadakan penggambaran di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, Air Terjun Lata Kijang dilihat bukan satu lokasi yang sesuai untuk aktiviti bermandi-manda kerana kolam di sekitarnya tidak begitu besar dan terdapat banyak batu.


LATA Kijang menjadi lokasi tumpuan untuk berkarya.

Bagi kaki fotografi, ia adalah lokasi sesuai untuk anda mencuba teknik merakam panorama alam semula jadi.

Dari pintu masuk taman negara ke Lata Kijang, pelbagai bentuk laluan muka bumi mencabar perlu dilalui kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penulis. Dari jalan rata hingga berbukit dan kadangkala terdapat pokok buluh tumbang menjadi penghalang laluan yang sebenarnya menawarkan konsep ekopelancongan cukup unik.

Bagi penulis, laluan mencabar sebegitu sebenarnya menjadi lokasi terbaik kepada pihak penganjur larian denai atau lasak untuk mengadakan cabaran di kawasan berkenaan. Jadi, bagi kaki pecut larian denai, anda mungkin boleh mencuba untuk berlatih di sini.

Kisah menerokai hutan simpan Jelebu tidak hanya terhenti pada keindahan Air Terjun Lata Kijang. Di kawasan tapak perkhemahannya terdapat sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Kenaboi.

Sungai berkenaan cetek dan mempunyai pergerakan arus sederhana laju membolehkan aktiviti berkayak tiub dilakukan. Merasai sendiri pengalaman mendayung tiub di Sungai Kenaboi sememangnya suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

Laluan permulaan tiub di kawasan yang hampir dengan lokasi perkhemahan hingga tempat berakhirnya aktiviti itu kira-kira 600 meter terasa begitu jauh kerana terdapat pelbagai cabaran.

Batu, dahan dan juntaian ranting dari pokok yang seakan menjadi kanopi laluan berkayak tiub antara cabaran yang perlu dilalui sekali gus memerlukan pemainnya bijak mengawal keadaan supaya tidak terbalik atau berpusing.

Apabila melalui kawasan jeram yang deras, jika gagal mengawal keseimbangan badan di dalam tiub boleh menyebabkan ia mudah terbalik atau hanyut dibawa arus.

Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana operator profesional yang mengendalikan aktiviti berkenaan, Hikers Climber Adventure Team Sdn Bhd sudah bersiap siaga memberi taklimat dan menyediakan peralatan keselamatan serta krew untuk mengiringi perjalanan pemain.

Biasanya, bagi mereka yang ingin menikmati panorama bak kisah fantasi, Lord Of The Ring, sering kali menceritakan pengalaman mereka di kawasan pergunungan, di kawasan air terjun di hutan simpan ini juga terdapat lokasi yang hampir sama dengan keindahan hutan di dalam filem Hollywood berkenaan.


PESERTA meneroka Taman Negeri Kenaboi merakam memori sebelum pulang.

Jeram Berungut! Ini lokasi terbaik untuk menikmati panorama dan bersantai di sungai yang cetek. Namun, untuk ke sana, anda perlu melalui jalan denai dan kawasan sungai kira-kira 45 minit dari kawasan perkhemahan.

Sebaik tiba di Jeram Berungut, kelihatan dua dinding batu besar di dalamnya terdapat air terjun. Arus air yang mengalir dari celah dinding batu besar berkenaan menghasilkan jeram yang cukup menarik untuk bersantai.

Bagaimanapun, untuk ke air terjun berkenaan dikatakan berisiko tinggi kerana terdapat pusaran air selain ia dalam.

Perkara paling penting untuk ke sini, pastikan anda mempunyai permit dari Jabatan Hutan serta jurupandu yang berpengalaman bagi menerokai kawasan rekreasi terbaik di Jelebu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:34 AM