Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan esok bakal menyaksikan tawa dan tangisan yang mengiringi pencapaian.

STPM boleh dikatakan sebagai penyudah sifir peperiksaan awam dalam sistem persekolahan di Malaysia.

Walaupun STPM bukanlah diduduki semua pelajar kerana terdapat beberapa pilihan lain selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu pengajian ke peringkat matrikulasi, kemahiran atau diploma. Namun kita tidak boleh menolak hakikat STPM berada pada kelas tersendiri.

Malah STPM juga digelar sebagai pengajian prauniversiti, membawa mesej bahawa proses berlaku sepanjang tempoh dua tahun ini adalah persediaan bagi mereka yang bercita-cita menjejak kaki meneruskan kecemerlangan ke menara gading.

Ia juga antara persediaan dalam membina kematangan daya fikir dan pembangunan diri demi kehidupan di kampus universiti kelak.

Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Afandi Ahmad berkata, bagi yang memilih meneruskan pengajian, pemilihan bidang pengajian tepat sangat penting.

Katanya, zaman ibu menetapkan bidang pengajian yang perlu diikuti anak mereka sudah lama berlalu.

STPM penyudah peperiksaan awam di sekolah.

“Jika ini berlaku, dibimbangi lepasan STPM hanya belajar untuk lulus dan membuktikan kepada ibu bapa segulung ijazah berjaya digenggam.

“Pendidikan tinggi hari ini dan masa depan perlu melangkaui sempadan paksaan. Jika berterusan rasa terpaksa dalam menuntut ilmu, keikhlasan semakin menjauhkan diri dan akhirnya kualiti kelulusan yang diperoleh tidak lebih daripada hanya sekeping kertas.

Katanya, selain memilih bidang pengajian yang tepat berdasarkan kelayakan, lepasan STPM juga mesti menyenaraikan kemahiran penting di universiti kelak.

“Perlu difahami bagaimana kemahiran melakukan pembentangan dan menulis laporan yang banyak digunakan sepanjang pengajian.

“Ringkasnya, perkara berikut adalah sangat penting iaitu kemahiran komputer dan aplikasi; penulisan laporan; pembentangan lisan; memimpin kumpulan; menjadi ahli pasukan dan mencari maklumat berkesan,” katanya.

Dr Afandi yang juga Prof Madya di Jabatan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu turut menegaskan pendidikan tinggi 4.0 dilihat sebagai kerangka bagi pelajar di universiti mendepani cabaran IR 4.0.

IBU bapa harus beri peluang kepada anak menentukan kursus pengajian diminati.

“Istilah seperti Heutagogy, Paragogy dan Cybergogy semakin berkembang dan ini merujuk kepada gaya pembelajaran terkini pelajar.

“Heutagogy merujuk kepada pembelajaran ditentukan sendiri oleh pelajar, Paragogy berkisar bagaimana pembelajaran adalah berorientasikan rakan sementara Cybergogy gaya pembelajaran berasaskan dunia maya.

“Apabila meneliti tiga istilah ini, jelas sekali kaitannya dengan kemahiran literasi komputer yang mesti diusahakan supaya pengajian di universiti berjalan lancar,” katanya.

Katanya, pengajian di peringkat STPM yang menajamkan kemahiran berdikari dalam kalangan pelajar juga berupaya menjadikan lepasan prauniversiti itu boleh dan terus berdiri di atas kaki sendiri ketika di menara gading. Di sekolah pembabitan dalam aspek kokurikulum digalakkan dan apabila di universiti perkara itu diteruskan.

“Pelajar mesti melihat pembabitan dalam aktiviti seperti ini jauh lebih penting. Ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)) yang berhasrat melahirkan graduan holisitik, keusahawanan dan seimbang.

“Sekiranya fokus hanya diberikan kepada aspek akademik semata-mata, tempoh pembelajaran lazimnya empat tahun tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Perlu difahami selain daripada pelajar perlu bekerja keras untuk mendapatkan kelulusan terbaik akademik, mereka juga mesti memperkaya diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran insaniah (KI),” katanya.

PEMBABITAN aktif di universiti meningkatkan kemahiran insaniah.

Katanya, pelajar hari ini perlu memastikan aspek 4C iaitu pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti antara senarai KI yang mesti diberikan fokus.

Semua kemahiran itu hanya akan dapat diperkukuhkan jika pembabitan mereka melangkaui dewan kuliah. Pelajar mestilah terbabit secara aktif sama ada di kolej kediaman, persatuan fakulti, kelab pelajar atau badan beruniform yang mesti dimanfaatkan.

“Walaupun disyorkan pelajar di universiti bergiat aktif, tumpuan kepada pengajian jangan sesekali diabaikan.

“Ini kerana pengajian di universiti memerlukan fokus yang mendalam terhadap sesuatu topik yang dibentangkan pensyarah. Penyelesaian soalan menerusi sesi tutorial juga memerlukan pelajar mendalami sesuatu topik sebaik-baiknya,” katanya.

Katanya, selain kuliah dan tutorial, kerja lapangan dan projek berkumpulan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aspek penilaian kerja kursus dan peperiksaan akhir.

“Perlu ditegaskan juga sistem semester di universiti agak berbeza dengan sistem persekolahan. Sistem semester bersama penilaian berterusan (lazimnya kuliah selama 14 minggu) menyebabkan tumpuan yang maksimum mesti diberikan.

“Kerja lapangan dan projek berkumpulan pula tidaklah semudah dijangka. Menerusi komponen ini, pelajar dilatih gaya kepemimpinan kerana perlu memimpin kumpulan bagi memastikan permasalahan diberikan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Katanya, berbeza dengan pengajian STPM yang berjalan selama dua tahun kerana pengajian di universiti berasaskan sistem semester dan keputusan akademik.

Bagaimanapun, bagi yang memilih untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, pengalaman yang ditimba menerusi STPM menitikberatkan aspek kemahiran analitikal berupaya melahirkan individu yang tajam kemahiran penyelesaian masalah berbentuk kompleks, kreatif dan tinggi daya saing serta boleh bersaing dalam sektor pekerjaan.

BERGELAR siswazah impian semua pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 1:37 PM