YASMIN mencuba permainan digital.
YASMIN (tiga dari kanan) dan Dr Othman (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Pusat Kerjaya Digital UTM.
PUSAT Kerjaya Digital UTM.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan Pusat Kerjaya Digital di Skudai, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kerjaya Digital UTM Prof Madya Dr Othman Ibrahim berkata, pusat hab sehenti itu menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan kerjaya siswa dan majikan.

Katanya, pusat kerjaya itu turut menganjurkan aktiviti yang membabitkan penggerak industri sektor teknologi digital.

“Melalui pusat ini, kami juga menawarkan beberapa sistem dalam talian yang boleh diakses penuntut dan industri, antara lain Job4U, Job on Campus (JoC) serta Sistem Latihan Industri (ITS).

“Selain itu, Pusat Kerjaya Digital bertanggungjawab menganjurkan program pembangunan kerjaya menggabungkan pembabitan aktif rakan industri dalam usaha menyampaikan maklumat dan tawaran pekerjaan kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pusat itu yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood.

Pada masa sama UTM turut sebagai diiktiraf Universiti Teknologi Digital Premier daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sempena majlis itu, UTM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri iaitu Pusat Kecemerlangan Inovasi Media dan Permainan (MaGICX) bagi memberi pengalaman pembelajaran lebih maju kepada siswa serta rakan ekosistem.

MaGICX mempamerkan Classroom of the Future berupa penyelesaian realiti maya untuk membangunkan kemahiran kreatif baharu dan menawarkan pengalaman ‘belajar dengan melakukan.’

Sementara itu, Yasmin berkata, UTM adalah satu daripada lapan institusi pengajian tinggi (IPT) menerima pengiktirafan pada Ogos lalu atas kelayakan.

Selain komitmen universiti berkenaan dalam penawaran kursus teknologi digital terkemuka yang berjaya melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi tuntutan kerjaya digital masa depan.

“Kami perlu memastikan generasi muda yang memasuki IPT mendapat pendidikan berkualiti.

“Kami berharap dapat melancarkan lebih banyak Pusat Kerjaya Digital di IPT Premier bagi membolehkan setiap institusi ada kemudahan terbaik untuk meningkatkan pembabitan pelajar dengan rakan industri,” katanya.

Selain UTM, tujuh lagi IPT tempatan diiktiraf sebagai Universiti Teknologi Digital Premier ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Taylor’s University, Universiti Sunway, Universiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Asia Pasifik (APU).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 1:22 PM