BERSAMA pengkayuh basikal dari Malaysia di Gurun Gobi di Wilayah Omnogovi, Mongolia.
Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Seribu satu cerita tercatat dalam Kembara Inspirasi Haji yang dilakukan lapan ahli Pertubuhan Kembara Amal (PeKA) tahun lalu.

Kembara itu bukan biasa-biasa. Hanya yang memiliki kekuatan fizikal dan mental luar biasa sanggup melakukannya.

Ini kerana kembara itu antara yang pertama kali dilakukan rakyat Malaysia menggunakan kenderaan pacuan empat roda membabitkan perjalanan darat sejauh 15,400 kilometer (km) selama 40 hari dan merentasi banyak negara sebelum tiba di Makkah.

Ia membabitkan Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Kedengaran menarik namun kembara yang membabitkan kos RM70,000 seorang itu sarat dengan suka duka pengalaman dan kini menjadi kenangan terindah buat peserta.

Perjalanan bermula 14 Julai tahun lalu di Tanjung Piai, Pontian, Johor dan pada peringkat awalnya berjalan lancar.

Namun, apabila memasuki China, cabaran mula ‘menyambut’ kedatangan mereka.


BERDOA sebelum berlepas dari Tanjung Piai, Johor.

Timbalan Pengerusi PeKA Zikri Fuad berkata, pada hari keenam di China dan ketika memasuki bandar Xindian, mereka terpaksa menunggu beberapa jam di sebuah tol.

Menurutnya, Xindian dibangunkan menjadi sebuah bandar Islam.

“Kami diiringi polis dan tentera hingga memasuki hotel penginapan di bandar berkenaan selain dipantau 24 jam oleh pasukan keselamatan terbabit.

“Pasport kami dirampas dan mereka (pasukan keselamatan) menyimpannya sebelum diserahkan semula selepas keluar dari wilayah berkenaan,” katanya kepada Nuansa.


PESERTA Kembara Inspirasi Haji menginap di inap desa di Turpan yang dibina daripada tanah dan jerami.

Menurutnya, pada hari ketujuh di bandar itu, pasukan unit khas polis pula mengekori mereka dan merampas kamera rasmi PeKA.

“Mereka merampas kamera dan kemudian memadam gambar dan rakaman video berkenaan satu program di sebuah madrasah di bandar itu.

“Mujur saya pantas sembunyikan kamera peribadi dan semua gambar sepanjang perjalanan sebelum tiba di China. Syukur ia dapat diselamatkan,” katanya.


MENAIKI motosikal di Urumqi, China.

Beliau berkata, selepas itu mereka singgah di bandar Turpan iaitu sebuah bandar lama yang wujud sejak 2,200 tahun lalu dan kawasan kedua terendah di dunia selepas Laut Mati.

Apabila tiba di sebuah kampung iaitu Xinjiang di bandar itu, mereka singgah di sebuah masjid yang dibina menggunakan tanah dan dicampur jerami untuk menunaikan solat.


BERGAMBAR di dalam masjid di Turpan, China sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Ketika solat, hujan turun dan menitis ke atas badan kami kerana bumbung masjid bocor. Ketika berdoa, tanpa sedar air mata kami mengalir kerana berasa sayu secara tiba-tiba.

“Kami sangat terkejut sebaik keluar dari masjid itu didapati ramai tentera lengkap berperisai menunggu di luar masjid,” katanya.

Menurutnya, mereka terpinga-pinga melihat kehadiran tentera itu dan tertanya-tanya apa kesilapan yang dilakukan.

“Kami diberitahu sudah melanggar peraturan ditetapkan kerajaan di wilayah terbabit yang orang muda berusia bawah 50 tahun tidak dibenarkan solat ataupun mengadakan sebarang aktiviti di masjid.


MINUM petang bersama komuniti Islam di perkampungan Donglianhua, China.

“Sekali lagi kami diiringi ke balai polis dan selepas berbincang, kami dibebaskan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya.

“Insiden itu berlaku selama kira-kira tiga jam dan kami benar-benar tidak menyangka ditahan buat kali kedua. Namun, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat kami untuk menyempurnakan misi penjelajahan ini,” katanya.

Katanya, China adalah negara yang paling lama mereka ‘jelajah’ membabitkan keluasan keseluruhan 7,000km selama 17 hari dan purata memandu di negara itu ialah 600km sehari.

Zikri berkata, cabaran Kembara Inspirasi Haji tidak terhenti di situ. Ini kerana mereka nyaris tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima itu disebabkan masalah visa haji. Permohonan visa ditolak kerajaan Arab Saudi pada saat akhir.


BERSAMA komuniti Islam yang hidup secara nomad di Kyrgyzstan.

“Kami sangat panik kerana sudah berada di Dubai dan menghampiri Arab Saudi. Saya sebelum itu tidak dibenarkan memasuki Uzbekistan hanya kerana berjanggut dan dikatakan perlu pulang ke Malaysia untuk menguruskan semula permohonan visa haji di tanah air.

“Akhirnya kami diberikan pilihan untuk mohon visa Furoda iaitu visa yang diberikan secara terus oleh menteri dan kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, selain visa haji mereka berhadapan masalah pembelian tiket kapal terbang ke Jeddah.


SUHU kenderaan pacuan empat roda peserta meningkat ketika di Iran.

“Tapi apabila masalah visa selesai, kami terpaksa berpecah, tidak dapat membeli tiket penerbangan yang sama kerana sudah habis terjual dan memandangkan ia adalah hari terakhir untuk mendapatkan tiket berkenaan.

“Undang-undang di Arab Saudi menetapkan seminggu sebelum wukuf tidak dibenarkan mana-mana kapal terbang syarikat penerbangan lain memasuki negara itu kecuali kapal terbang Arab Saudi,” katanya.


PESERTA Kembara Inspirasi Haji lengkap berpakaian ihram.

Katanya, kemuncak dugaan yang mereka tempuh adalah sebelum ke Jeddah dan dengan keajaiban Allah, semua misi kembara dapat dilaksanakan meskipun ada beberapa perkara terpaksa dilakukan pada saat akhir.

“Kami sangat bersyukur kembara ini berjaya dan sepanjang perjalanan kebergantungan kepada Allah sangat tinggi selepas berusaha.

“Antara pengajaran di sebalik ujian ini umpama mesej yang disampaikan Allah akibat kelalaian kami yang sering melengahkan solat disebabkan sibuk dengan tugas.

“Apabila kami hendak mengerjakan ibadat haji, Allah melewat-lewatkan waktu itu walaupun akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.


MENGADAKAN program Sabil iaitu memberi bantuan makanan kepada jemaah haji di Makkah.

Ditanya mengapa memilih jalan darat untuk ke Makkah, beliau memberi jawapan kembara itu adalah rangkuman tiga perkara dalam satu masa.

Pertama, ingin menghayati keindahan bumi Allah, kedua, memberi sumbangan kepada golongan memerlukan di setiap negara dilalui dan ketiga, mengerjakan ibadat haji,” katanya yang mempunyai pengalaman kembara menaiki kereta di lebih 50 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:19 AM