PESERTA pertandingan bergambar kenangan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Latihan menarik lori sampah seberat 16 tan selama tiga hari sebelum pertandingan membawa tuah kepada kumpulan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Tarik Jentera Bomba Tarik Jangan Tak Tarik.

Pertandingan julung kali anjuran MPAJ itu disertai 150 peserta yang diadakan sempena Hari Tanpa Kenderaan Bulan Februari 2018, baru-baru ini.

Tempat kedua dimenangi Jabatan Perlesenan MPAJ dengan hadiah wang tunai RM400 sementara tempat ketiga ialah Jabatan Belia dan Masyarakat MPAJ yang menerima wang tunai RM300.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ berjaya menarik jentera itu pada jarak lebih 10 meter dengan catatan masa 7 minit 4 saat, sekali gus menewaskan sembilan kumpulan lain.

Wakil kumpulan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ, Muhammad Hafifi Mohd Sari berkata, kejayaan itu hasil daripada latihan yang mereka lakukan sebelum ini bagi menguji kekuatan 11 ahli pasukan berkenaan.


GILIRAN diundi sebelum pertandingan bermula.

“Lori yang ditarik ketika latihan adalah lebih berat berbanding jentera bomba dalam pertandingan iaitu 11 tan.

“Walaupun ia lebih ringan namun kami tetap menggunakan sepenuh tenaga supaya dapat menarik jentera itu pada jarak lebih jauh berbanding pasukan lain,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, pasukan lain turut memberikan saingan sengit dan menjadi pengalaman berharga kerana masing-masing baru menyertainya.

“Penyertaan dalam pertandingan ini juga hanyalah sekadar suka-suka dan tidak sangka menjadi juara serta memenangi hadiah wang tunai RM500.

“Insya-Allah, kami akan menyertai pertandingan seperti ini pada masa akan datang kerana semua ahli gemarkan cabaran,” katanya.


TIMBALAN Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Hasrul Nizam Shaari (kiri) turut menyertai pertandingan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ Abd Hamid Hussain berkata, program itu diadakan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ampang bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Tanpa Kenderaan 2018 yang dijalankan setiap bulan.

“Kita sentiasa mempelbagaikan aktiviti pada sambutan itu bagi menarik minat masyarakat setempat untuk turut serta dalam setiap program diadakan.

“Ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara MPAJ dengan masyarakat kerana mereka adalah ejen penting bagi kedua pihak terbabit,” katanya.


PESERTA bertungkus-lumus menarik jentera bomba seberat 11 tan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 6:57 AM