AKTIVITI mendaki di Australia juga antara menjadi pilihan.
SHALIZA (kiri) dan Fakhrul Rozy merakam foto selepas mendaki di Dolomiti.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.m

hafizithnin@mediaprima.com.m

Kali pertama penulis melihat pasangan ini ketika mendaki tembok tiruan di Taman Cabaran Putrajaya (PCP), tidak terlintas langsung bahawa mereka adalah suami dan isteri yang mempunyai dua cahaya mata.

Wajah awet muda itu mungkin disebabkan kedua-duanya aktif dalam aktiviti rekreasi.

Ahmad Fakhrul Rozy Harun dan Shaliza Mokhtar masing-masing berusia 36 tahun mempunyai minat sama iaitu mengembara serta mendaki cerun batu di luar negara, kira-kira tujuh tahun lalu.

Menariknya apabila membuka Instagram milik mereka, pasangan ini lebih selesa mengamalkan konsep percutian keluarga iaitu memastikan setiap negara yang dilawati mesti mempunyai aktiviti memanjat cerun.

Fakhrul Rozy berkata, setakat ini mereka berpengalaman mendaki cerun di beberapa lokasi di luar negara iaitu Yangshuo (China), Mount Arapiles dan Blue Mountain (Australia), Krabi (Thailand), Mount Remarkables (New Zealand), Le Brevent Chamonix (Perancis) dan Gimmelwald (Switzerland).

Katanya, di Malaysia juga terdapat beberapa lokasi mendaki cerun yang sering menjadi tempat untuk berlatih atau mengisi masa terluang seperti di Gua Damai, Batu Caves. PCP pula menjadi lokasi mereka memantapkan kemahiran pendakian.

“Saya lihat mendaki cerun atau tembok batu dengan isteri dapat menjadikan kami aktif kerana ia aktiviti yang boleh kami lakukan bersama-sama untuk mengisi waktu terluang tidak kira di Malaysia atau di luar negara.

“Menariknya aktiviti mendaki ini dapat mengeratkan hubungan kami dan ada elemen positif yang tersirat ketika melakukannya seperti kepercayaan antara satu sama lain ketika mendaki,” katanya.

Bapa dan ibu kepada Daisy, 9, dan Renan, 3, ini bertugas sebagai arkitek di firma yang sama. Sebelum menyertai aktiviti mendaki cerun secara aktif, kedua-duanya gemar mengembara ke beberapa negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, England, New Zealand, Jepun dan Austria.

Sementara itu, Shaliza berkata, mengembara sambil mendaki cerun sememangnya memberi kelainan kepada mereka ketika melancong di luar negara kerana sebelum ini destinasi lebih tertumpu di kawasan bandar.

Katanya, untuk mendaki cerun di luar negara, mereka perlu menerokai kawasan pedalaman atau pergunungan yang jarang menjadi lokasi persinggahan pelancong, sekali gus memberi kepuasan ketika mengembara.

“Sebelum ini, kami hanya mengembara di kawasan bandar dan melihat serta membaca tinggalan sejarah di sesuatu kawasan yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong asing.

“Menariknya mengembara dan mendaki cerun di luar negara apabila kami dapat melihat sendiri panorama alam yang begitu cantik dan unik serta merasai pengalaman mendaki cerun yang tidak terdapat di negara tropika seperti Malaysia.

“Antara lokasi pendakian cerun paling digemari kami ialah di kawasan pergunungan Dolomiti, Itali kerana jaringan trek yang luas dan terdapat pondok di kawasan pergunungan untuk berteduh, bentuk muka buminya menarik serta formasi batu yang dramatik untuk pendaki,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia mempunyai cerun yang menarik, mereka berdua bersetuju dengan perkara itu dan berharap lebih banyak pihak dapat membuka lokasi baru.

Fakhrul Rozy berkata, kebanyakan lokasi mendaki cerun tempatan menarik sukar diakses bagi golongan pendaki seperti mereka kerana kawasan yang jauh dan mengambil masa agak lama.

Katanya, sekiranya terdapat pihak yang dapat menerokai kawasan pendakian unik di Malaysia seperti diwujudkan di Pulau Krabi, Thailand sudah pasti mampu menarik kehadiran pelancong asing untuk melakukan aktiviti pendakian di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 12:33 PM