NUR ERISYA melakukan proses membuka enjin kenderaan.
PENGETAHUAN berguna ditimba pelatih Akademi Saga sesuai dengan keperluan industri.
RUDY bersama pelatih.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Apabila memperkatakan berkenaan kerjaya dalam bidang automobil, satu industri yang sememangnya berkaitan terus dengan bidang ini ialah kejuruteraan automotif.

Ini kerana industri automobil menjadi industri yang berkembang pesat di serata dunia, bukan saja di China, Thailand dan Malaysia, bahkan di Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Olehitu, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditubuhkan di Malaysia dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan kursus Kejuruteraan Automotif atau kursus lain yang berkaitan bidang automobil.

Selaras dengan bidang pendidikan vokasional dan teknik (TVET) pada masa kini, industri automotif antara cabang TVET yang memiliki daya tarikannya tersendiri.

Kebanyakan aspek kemahiran ditawarkan melalui bidang TVET memenuhi banyak permintaan industri pekerjaan.

Bermakna pihak majikan juga mahukan pekerja memiliki kemahiran asas tertentu dalam membantu mereka di sektor pekerjaan yang ditawarkan pada masa kini.

Dalam usaha menghasilkan tenaga pakar dan berkemahiran tinggi dalam industri automotif, Kumpulan DRB-Hicom melalui anak syarikatnya, Hicom University College Sdn Bhd (HUCSB) menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Akademi Saga.

Pengetua Akademi Saga Rudy Shahromann Baharum berkata, penubuhan akademi yang ulung di Malaysia itu mencerminkan kesungguhan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dalam menyediakan pakar dalam bidang automotif bagi memenuhi keperluan tenaga mahir untuk industri itu.

Katanya, sejak penubuhan Akademi Saga pada Julai 1991, pusat itu menerima lebih 6,000 pelatih dan lebih 90 peratus perantis memperoleh pekerjaan.

Malah Akademi Saga turut menawarkan program perantis kepada lepasan sekolah yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang automobil, tapi ingin menjadikannya sebagai kerjaya.

“Sejak penubuhan pusat latihan itu, 70 peratus daripada masanya ditumpukan kepada latihan amali dan 30 peratus teori.

“Akademi Saga berbeza dengan pusat kemahiran lain kerana dibekalkan bengkel yang lengkap sepenuhnya, dewan kuliah dan peralatan termoden serta canggih sejajar dengan keadaan semasa di samping pendedahan kepada cara bekerja sebenar kepada pelatih.

Katanya, Akademi Saga dilihat mampu menjadikan industri automotif di Malaysia berkembang dengan lebih pesat kerana perantis pusat mempunyai kepakaran yang lebih maju dalam bidang automotif dan boleh menyelenggarakan semua jenis model kereta dengan lebih efektif.

“Perantis akan ditawarkan bekerja di pusat servis EON di seluruh negara selama setahun selepas menamatkan program latihan mereka.

“Hasilnya pada masa kini, ramai bekas pelatih Akademi Saga sudah menjadi pakar dalam bidang ini dan ramai juga antara mereka memegang jawatan penting di syarikat automotif yang terkemuka di Malaysia.

“Ini kerana mereka dilengkapi pengetahuan yang sangat diperlukan industri automotif,” katanya.

Jelasnya, bagi syarat kemasukan ialah berumur 16 tahun ke atas dan menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira).

Tiga tahap kemahiran disediakan di akademi itu iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2, SKM tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap 4, bahkan pelatih juga akan dihantar untuk mengikuti latihan industri (LI) di pusat servis edar dan pusat servis di bawah kumpulan DRB-Hicom.

Bagaimanapun, kemasukan perantis dihadkan kepada 200 pelatih bagi setiap sesi pengambilan iaitu empat kali setahun, iaitu pada Februari, Mei, Ogos dan November.

“Pelatih tidak perlu bimbang berkenaan yuran pengajian, kerana kami menyediakan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan daripada Lembaga Zakat negeri.

“Penginapan juga turut disediakan akademi dan pelatih hanya dikenakan yuran penginapan berjumlah RM180 hingga RM200 untuk setiap tahap kemahiran.

Akademi Saga ditubuhkan pada Julai 1991 atas komitmen negara untuk membangunkan industri automotif Malaysia.

Penubuhan Akademi Saga adalah cetusan idea Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada ketika itu, Akademi Saga adalah pusat latihan automotif yang diurus selia EON dengan kerjasama Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) dan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS).

Bagi Nur Erisya Mohd Fahmi, 18, mengikuti latihan di Akademi Saga sejak Julai tahun lalu antara permulaan pengalaman menarik.

Pelatih SKM tahap 2 itu begitu meminati kerja teknikal membabitkan kenderaan dan meninggalkan persekolahan kerana aliran yang diikutinya tidak diminati.

“Ketika tingkatan empat saya ditempatkan di aliran Mata Pelajaran Vokasional (MPV) solekan dan andaman, tapi tidak berminat dan mengambil keputusan berhenti sekolah.

“Saya begitu meminati kerja mekanik kerana ayah memiliki bengkel dan kerap membantunya. Apabila mengetahui Akademi Saga menyediakan kursus mekanikal ini, saya terus mengambil keputusan menyambung pengajian di sini.

“Pelbagai ilmu mekanik yang saya dapat di sini dan dengan bantuan tenaga pengajar terlatih, banyak yang saya belajar berkenaan enjin dan cara baiki kereta,” katanya yang berhasrat untuk menyambung legasi pekerjaan bapanya.

Rakannya, Lukman Nur Hakim Abd Rahman, 21, pula menganggap peluang mengikuti pengajian di Akademi Saga sesuatu yang sangat berharga dan menjadi landasan terbaik kepadanya.

Dia yang mengikuti SKM Tahap 3 berkata, melihat kejayaan perantis dari akademi itu menyebabkannya bersemangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Pada awalnya, saya tidak minat dengan kerja mekanik ini kerana sebelum ini saya belajar di pusat tahfiz.

“Tapi apabila masuk ke sini, minat itu datang sendiri. Tambahan pula, tenaga pengajar sentiasa memberi sokongan dan membantu pelatih hingga kami boleh lakukan sesuatu kerja,” katanya.

Sementara itu, perantis Akademi Saga Azren Arif Abd Razak dan Ahmad Zhariff Jamaludin kini mampu berbangga dengan kejayaan masing-masing kerana memiliki bengkel kereta terkemuka di Bandar Sunway, Selangor.

Jejaka berusia 28 tahun itu berkongsi membuka bengkel kenderaan sejak dua tahun lalu dan kini mampu meraih pendapatan sehingga ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Menurut Azren, dia yang mengikuti pengajian di Akademi Saga pada 2009 bersama Ahmad Zhariff bersyukur diberi peluang belajar di situ yang dilengkapi latihan selain dibekalkan pelbagai pengetahuan sangat diperlukan industri automotif.

“Latihan amali yang berbentuk ‘hands on’ memberi kelebihan kepada pelatih untuk memahami dengan jelas.

“Ditambah pula, Akademi Saga juga menyediakan alatan yang lengkap dan termoden membolehkan pelatih mendapat pendedahan awal,” katanya.

Biarpun meninggalkan Akademi Saga kira-kira 24 tahun lalu, Muhidzir Ali, 43, berbangga menjadi sebahagian perantis pusat latihan itu kerana ilmu yang diperoleh mengubah masa depannya ke arah yang lebih baik.

Bergelar Pengarah Lon G Setia Auto Sdn Bhd, Muhidzir berkata, belia seharusnya memanfaatkan bidang kemahiran dalam apa jua skop kerana ia menjadi keperluan penting pada masa kini.

“Saya memang meminati automotif sejak remaja, apabila diberi peluang ke Akademi Saga pada 1994, ia platform untuk saya terus ke hadapan meneroka bidang ini.

“Hasilnya, usaha berterusan dengan kemahiran yang diperoleh di akademi itu membolehkan saya memiliki lima syarikat automotif dikendalikan bersama kawan sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 1:58 PM