PENOLONG Juruaudit Balai Seni Negara Noor Elissa Hajidan menunjukkan aplikasi Kalendar 2018.
DR Mohamed Najib (dua dari kiri) ketika pelancaran Kalendar 2018 Balai Seni Negara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Balai Seni Negara (BSN) melancarkan Kalendar Program 2018, Pelancaran Katalog KL Biennale dan Go Gallery Apps, baru-baru ini.

Pelancaran itu sempena pembukaan program baru bagi tahun ini dan genap 60 tahun usia penubuhan BSN.

Pelbagai program dirancang bagi meraikan sambutan Jubli Intan institusi berkenaan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak melepaskan peluang menyaksikan pelbagai program dirancang dalam Kalendar BSN yang boleh diakses melalui Aplikasi Mobile LPSVN dan dimuat turun di telefon bimbit.

Lebih membanggakan, 40 tahun adalah tempoh yang menunjukkan BSN semakin matang memainkan peranannya dalam membangunkan industri seni visual negara sama ada dalam bentuk perkembangan atau penyemaian seni dan aspek pembangunan industri.

Fasa sambutan pada Januari hingga Mac turut membabitkan Pameran Antarabangsa dan Simposium Kuala Lumpur Biennale.

Ketua Pengarah BSN Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, Pelancaran Katalog KL Biennale ialah menghimpunkan pelbagai karya menarik sepanjang pameran diadakan bermula 1 November tahun lalu hingga 30 Mac ini.

“Sementara Go Gallery Apps pula adalah laman web yang menghimpunkan maklumat pameran seni bagi galeri swasta dan maklumat seni seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, antara program yang menarik tumpuan ialah Usahawan Seni Muda (YAE!) yang diperkenalkan untuk menyediakan platform kepada pelukis muda memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Program ini diadakan tahun lalu disertai tujuh pelukis muda yang dilatih dalam bidang seni dengan kemahiran keusahawanan, memberi pendedahan dan tunjuk ajar secara ‘hand-on’ oleh konsultan keusahawanan, pelukis dan kurator jemputan.

“Kumpulan kedua YAE! bakal diadakan pada Februari ini bertaraf antarabangsa kerana membabitkan peserta luar negara iaitu Taiwan,” katanya.

Mohamed Najib berkata, pemantapan pengisian kursus juga diadakan bagi memastikan peserta lebih berjaya pada masa hadapan.

Katanya lagi, peserta tidak perlu bimbang dari segi modal untuk memulakan perniagaan kerana kerajaan menyediakan banyak saluran bagi mendapatkan dana seperti menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 12:58 PM