LEMANG sushi yang berinti di tengah-tengahnya.
Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my


Lemang sushi berintikan durian kini menjadi produk makanan tradisional terbaru dari Negeri Sembilan yang sudah mula dipasarkan sejak pertengahan tahun ini.

Ia hasil inovasi terbaru pengusahanya, Zuriati Sulaiman, 52, menerusi syarikat miliknya, Awie Enterprise (Awie), yang ditubuhkan sejak 2005.

Pada peringkat awal pembabitannya dalam perniagaan makanan itu, dia mengeluar dan membekalkan makanan serunding daging, ayam, ikan bilis dan popia simpul.

Kini melebarkan lagi bidang perniagaannya dengan produk terbaru yang semakin mendapat sambutan.

Malah, Zuriati satu-satunya pengeluar produk itu di negara ini yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Usahawan asal Kuala Pilah itu berkata, lemang keluarannya itu hasil cetusan idea suaminya, Azizi Abd Muin, 55, awal tahun ini.

“Lemang sushi berintikan durian adalah produk terbaru kami, namun proses pembuatannya masih kekal dengan cara tradisional iaitu menggunakan santan dan beras pulut biasa.

“Bagaimanapun lemang ini tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar dalam ketuhar khas hasil bantuan MARDI dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS),” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Awie, di Pusat Pertanian Ampang Tinggi Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, baru-baru ini.


PROSES memasak serunding.

Menurut usahawan bimbingan JPNS dan MARA itu, lemang sushi boleh disejuk beku dan dimasak semula dalam ketuhar gelombang mikro atau dikukus bagi mengekalkan rasa enak serta lembut.

Ibu kepada seorang anak lelaki tunggal itu berkata, dia memerlukan antara 10 hingga 20 kilogram (kg) isi durian sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Selain itu katanya, sebanyak 130kg santan berharga RM1,200 diperlukan bagi pengeluaran antara 800 hingga 1,000 batang lemang sushi dalam seminggu.

“Saya juga memerlukan 30kg daging mentah sehari bagi membuat serunding tidak termasuk ikan bilis dan bahan lain.

“Terdapat teknik tertentu bagi memasukkan inti di tengah-tengah lemang tanpa bercampur dengan pulut. Lemang sushi dipasarkan pada harga RM18 sebatang dan hingga kini 20 ejen jualan dilantik di seluruh negara bagi memasarkan produk ini,” katanya.

Zuriati berkata, lemang sushi dikeluarkan bersaiz sembilan inci panjang memerlukan lima jam untuk mencapai tahap masak dan mereka membuat tiga pusingan sehari bagi memenuhi permintaan ramai.

“Alhamdulillah, setakat ini lemang sushi durian paling laris hingga kami tidak menang tangan kerana permintaan terlalu tinggi terutama dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.


ZURIATI (kiri) dan pembantunya bersama lemang sushi yang sedia dipasarkan.

Dia yang dibantu lima pekerja, bagaimanapun berkata, kuantiti jualan dijangka meningkat setiap kali musim perayaan.

Menjadi hasratnya untuk mengembangkan produk makanan tradisional negeri Adat Perpatih itu hingga ke luar negara.

Malah, hasil usahanya itu, Zuriati mendapat pengiktirafan apabila berjaya memenangi beberapa anugerah peringkat kebangsaan dan Negeri Sembilan.

Antaranya mendapat johan Projek Pengembangan Veterinar Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan 2012, johan serunding ikan bilis pada Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPNK), Negeri Sembilan 2014 serta juara produk komersial kategori mikro popia mini MAHA 2016.

“Lemang sushi turut dicalonkan bagi kategori inovasi peringkat kebangsaan tahun ini,” katanya yang terhutang budi kepada MARDI, JPNS, MARA dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana agensi itu banyak membantunya memberikan dana, khidmat nasihat dan bantuan peralatan bagi mengembangkan perniagaan diceburi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:10 AM