ZIKRI memberikan mainan kepada kanak-kanak di kem pelarian Rohingya Balukhali, Bangladesh.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Memulakan perjalanan sebagai seorang pengembara sejak berusia 19 tahun, Ahmad Zikri Mohamad Zuki atau lebih mesra disapa Zik hingga kini sudah meneroka lebih 10 negara.

Walaupun angka itu mungkin dilihat kecil dalam kalangan pengembara tegar lain, namun dia mempunyai keunikan tersendiri dalam setiap pengembaraannya.

Dia mengembara sambil membawa misi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Puas menjadi pengembara hanya sekadar merakam foto masyarakat asing dan berjalan tanpa ada hala tuju selama berbulan-bulan, akhirnya dia lebih gemar menjadi pengembara masyarakat.

Pembabitannya dalam misi kemanusiaan berlaku secara tidak sengaja ketika letusan Gunung Berapi Sinabung, Medan, Indonesia pada 2015.

Ketika itu dia hanya ingin merakamkan foto kejadian berkenaan untuk tugasan tahun akhirnya di universiti.

Namun apabila berada di kawasan itu dalam tempoh yang lama, Zik merasakan sebagai pengembara bukan sekadar memetik kamera untuk merakam memori, tapi seharusnya menyumbang kepada masyarakat setempat.

BERSAMA sukarelawan memberikan bantuan kepada mangsa bencana Gunung Berapi Sinabung, Indonesia.

Malah, rasa cintanya kepada lokasi pengembaraan sukar untuk diakses akibat krisis peperangan, alam mahupun politik menjadikannya obses untuk membantu lebih ramai masyarakat luar yang tertindas.

Zik berkata, walaupun pembabitannya tidak begitu besar dalam sesuatu misi kemanusiaan antarabangsa, dengan kemampuannya sebagai jurugambar profesional, dia mampu mendokumentasikan keadaan masyarakat terpinggir antarabangsa untuk dikongsi dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang ramai.

Katanya, hingga kini, dia menyertai empat misi kemanusiaan antarabangsa iaitu Misi Musim Sejuk Mycorps untuk Pelarian Syria di Lubnan, Misi menghantar Ambulans ke Syria bersama NGO antarabangsa lain, Misi Anak Muda Peduli Rohingya dan misi kemanusiaan secara peribadi antaranya mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa bencana alam di letusan gunung berapi di Indonesia.

MENGHIBURKAN kanak-kanak pelarian Syria di Kem Pelarian Syria di Akkar berdekatan sempadan Lubnan dan Syria.

Sanggup jual foto dirakam

Anak muda berusia 25 tahun ini juga tidak menyertai misi kemanusiaan dengan mendambakan tajaan untuk dirinya ke mana-mana negara, sebaliknya sanggup menjual beberapa foto peribadi terbaiknya bagi menampung kos perbelanjaan ke kawasan misi kemanusiaan.

Selain menjual foto yang pernah dirakamnya, perkara yang tidak dapat dilupakan apabila Zik pernah menjual kamera kesayangan dan komputer riba untuk menyertai misi kemanusiaan peribadinya bagi membantu mangsa bencana letusan Gunung Berapi Sinabung.

“Mungkin orang katakan saya gila kerana sanggup menjual barangan peribadi semata-mata membantu orang lain dan menampung kos perjalanan ke negara yang mempunyai misi kemanusiaan.

“Namun, inilah saya - seorang pengembara yang rasa puas apabila dapat membantu orang lain dan mereka lebih memerlukannya berbanding kita yang menikmati kehidupan aman damai di Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan pengalaman yang tidak dilupakan sepanjang menjadi pengembara masyarakat, katanya, ketika berada dalam Misi Kemanusiaan Rohingya, keadaan sekeliling di penempatan pelarian itu sangat daif dan kesusahan hidup mereka sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

PELARIAN Syria yang memberikan kopi percuma kepada Zik sebagai sarapan di kem pelarian Syria di Akkar, Lubnan.

“Dalam keadaan sukar sebegitu, mereka masih memasak dan menghidangkan makanan untuk saya dan pasukan demi meraikan kami sebagai tetamu dan tidak pernah lekang dengan senyuman.

“Bagaimanapun, sebaik saja kami makan makanan yang dihidangkan, mereka tidak langsung menjamah makanan berkenaan walaupun dipelawa dengan alasan sudah makan tapi kami tahu sebenarnya mereka mengikat perut. Rasa sedih memang tidak dapat dibendung lagi ketika itu,” katanya.

Pemegang ijazah dalam Kreatif Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkongsi pengalamannya di Lubnan di mana dia berada di kem pelarian Syria selama dua bulan dan melihat sendiri kesengsaraan kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa perang di negara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 1:44 PM