REAKSI peserta kala menamatkan ekspedisi di Luxor.
SETIAUSAHA Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles (berbaju biru) dan wakil Malaysia Book of Records (kiri) bersama peserta Ekspedisi Kayak Merentas Sungai Nil 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
PESERTA ekspedisi bersama Nile Kayak Club.
PESERTA ekspedisi kayak merentas Sungai Nil.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Rakyat Malaysia sudah terkenal dengan keberanian mencipta pelbagai rekod dalam sukan rekreasi. Daripada menawan gunung tertinggi dunia, laluan paling ‘membunuh’ hingga menjelajah ke destinasi yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata demi kesungguhan mencipta rekod untuk negara.

Terbaru, menerusi penganjuran Majlis Rekreasi Malaysia (MRM), tujuh rakyat negara ini berjaya merekodkan sejarah sebagai kumpulan pertama rakyat Malaysia berakit di Sungai Nil.

Ia sungai terpanjang di dunia merentasi sembilan lokasi dari negara berbeza antaranya Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan, Sudan Selatan dan Mesir.

Tujuh peserta Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 itu ialah Mohd Haniff Muhamad Zain, Shamsudduha Junaidi, Rosliza Saad, Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Wan Zulhamli Wan Abd Rahman, Izwan Md Sumairi dan Ahmad Iqbal Khairi Ismail yang masing-masing berusia antara 22 hingga 39 tahun.

Difahamkan majoriti daripada peserta tidak mempunyai latar belakang dalam sukan kayak tetapi mereka aktif dalam sukan rekreasi dan mengambil masa selama empat bulan membuat persediaan termasuk latihan sebelum melaksanakan aktiviti berkenaan.

Antara latihan yang dijalankan termasuk kecergasan fizikal dan mental serta paling utama, membiasakan diri dengan aktiviti berkayak dari segi pengendalian hingga teknikal.

Mohd Haniff selaku ketua ekspedisi berkata, perjalanan mereka hanya tertumpu di Mesir. Ia bermula di Aswan hingga Luxor dengan jarak dayungan kayak sejauh 204 kilometer (km) selama 37 jam, selain berlangsung antara 9 hingga 13 November lalu.

Beliau berkata, misi utama ekspedisi itu mencipta rekod sebagai kumpulan rakyat Malaysia pertama berakit di Sungai Nil yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Kami menjalankan latihan selama empat bulan dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk memantapkan stamina dengan mendaki Bukit Broga sambil membawa beban kayak seberat sekitar 50 kilogram (kg) bersama beg galas 35kg.

“Sudah pasti latihan berkayak kerap diadakan dengan memilih Tasik Put­rajaya sebagai lokasi kerana di sini terdapat beberapa cabaran air yang sesuai untuk latihan pengendalian ekspedisi kayak,” katanya.

Sepanjang melengkap­kan ekspedisi, pasukan itu turut melalui empat kawasan persinggahan lain iaitu Kom Ombo, Nagaa Hassanein, As Sibaiyyah dan Armont.

Dalam tempoh ekspedisi, peserta hanya berada di permukaan Sungai Nil sepanjang masa termasuk untuk bermalam.

Haniff berkata, antara cabaran paling getir dihadapi kumpulan ekspedisi­nya adalah pertukaran cuaca yang begitu pantas dari semasa ke semasa, selain berdepan dengan pusaran air di Aswan.

Katanya, keadaan cuaca sepanjang berkayak ketika siang antara 25 hingga 18 darjah Celsius. Ia boleh menurun hingga ke paras 13 darjah Celsius selepas jam 6 petang atau menghampiri waktu Maghrib.

“Memandangkan keadaan cuaca yang sentiasa berubah dalam tempoh antara lapan hingga sembilan jam mendayung setiap hari, ia cukup memberi tekanan mental dan fizikal kepada peserta. Malah situasi darah keluar dari hidung sudah menjadi perkara biasa.

“Ketika melalui satu kawasan berhampiran Aswan, ada antara peserta hampir terjatuh ke dalam sungai kerana terdapat pusaran air yang menyebab­kan arus deras dan bergelombang,” katanya.

Selain itu, solat, berehat dan menikmati makan tengah hari juga dilakukan hanya di atas kayak kerana mereka perlu menamatkan ekspedisi setiap hari mengikut masa yang ditetap­kan.

Antara cabaran lain adalah ketika pasukan ekspedisi masih berada di sekitar Aswan. Terdapat empangan yang pernah menjadi lubuk buaya di sungai berkenaan.

Semua peserta hanya mampu berdoa supaya tidak ditemukan dengan reptilia terbabit kerana kehadirannya mampu mengancam nyawa ahli kumpulan pada bila-bila masa.

“Mujur ketika melalui kawasan berkenaan, kami tidak bertemu atau terlihat langsung kelibat buaya. Laluan itu sebenarnya sinonim dengan kawasan penyembahan tuhan buaya pada Zaman Mesir Kuno,” katanya.

Dari segi pemandangan, Mohd Haniff berkata sepanjang laluan berakit, terdapat pelbagai panorama menarik. Ada antara­nya seolah-olah membawa kembali ingatan ahli ekspedisi ke zaman Tanah Arab silam.

Ini kerana ada rumah yang masih beratapkan pelepah tamar dan kelihatan petani serta penggembala melakukan aktiviti harian.

Akhirnya segala cabaran ‘berbayar’ apabila mereka diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Ekspedisi Pertama di Sungai Nil Secara Berkumpulan pada 19 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:39 AM