PERKHIDMATAN spa semakin meluas.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Pertumbuhan pesat industri spa di negara ini bukan hanya menjana pendapatan malahan membuka peluang pekerjaan.

Perkembangan positif melalui peningkatan bilangan pusat terapi spa dan kesihatan turut dibantu usaha kerajaan dengan memberi fokus utama dalam perkembangan sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan menjadi antara sektor utama dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Kementerian Pelancongan melalui Majlis Spa Kebangsaan pula bertujuan mengawal selia industri spa dan menyediakan panduan khusus dalam membangunkan perkhidmatan itu.

Fenomena ini menggambarkan prospek industri spa negara dan peningkatan terhadap tenaga kerja mahir seiring perkembangan bidang berkenaan.

Selaras dengan permintaan tinggi dan masa depan kerjaya ini, Management & Science University (MSU) menawarkan program pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Spa terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kursus berkenaan turut ditawarkan kepada pekerja tidak terlatih yang terbabit dalam industri spa dan ingin mengikuti pengajian lanjutan dalam bidang berkenaan.

Proses pembelajaran boleh dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau fleksibel.

Selama tempoh pengajian pelajar akan didedahkan dengan suasana pembelajaran secara amali dan teori bagi membantu mereka mengaplikasi ilmu dengan lebih berkesan.

Berbekalkan kemudahan prasarana lengkap, pelajar bukan saja belajar dalam suasana kondusif tapi juga merasai suasana sebenar dunia kerjaya dengan kerjasama industri.

Menggunakan modul pembelajaran terkini di samping sokongan pensyarah berpengalaman melalui program mentor mentee, pelajar akan dibantu bagi mencapai keputusan cemerlang.

Potensi bidang pengurusan spa menyaksikan antaranya bidang kerjaya yang bakal diceburi termasuk di pusat spa dan terapi kesihatan, spa hotel dan resort, spa destinasi, klinik kecergasan dan sukan, kelab kesihatan dan kesejahteraan serta spa kondominium.

Mereka juga berpeluang berkhidmat sebagai ahli estetik, ahli estetik perubatan, terapi penjagaan kulit, dan penghias kuku dan pengurus spa selain keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:23 PM